Peruncit diingatkan jangan sorok, letak syarat beli gula

0
204

PERUNCIT diingatkan supaya tidak menyorok gula dan meletakkan syarat kepada pembeli kerana tindakan tegas boleh dikenakan terhadap mereka.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata setakat ini pihaknya menerima aduan mengenai kegiatan tersebut di Kedah dan Perak.

“Apa sahaja aduan yang diterima kita siasat, sebab ini salah dan saya ingin ingatkan kepada semua peruncit jangan buat, sekiranya didapati bersalah kita boleh ambil tindakan tegas kerana gula barang kawalan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rahmah berupa wang tunai dan Bakul Rahmah sumbangan Wakalah Zakat Korporat daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kepada 300 penerima di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan sebuah premis di Alor Setar, Kedah dikenakan tindakan kerana menjual gula secara bersyarat iaitu bagi setiap pembelian dua kilogram (kg) gula pasir kasar berharga RM2.85 sebungkus, pelanggan perlu membeli satu kg gula putih premium berharga RM4.60 sebungkus.

Selain itu, media turut melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita 156kg gula pasir putih bertapis kasar yang dipercayai cuba disorok peniaga di Taman Kaya, Taiping, Perak.

Kedua-dua kegiatan tersebut boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sementara itu, Fuziah memaklumkan menerusi Ops Manis yang dilaksanakan bagi menangani isu bekalan gula hingga semalam, KPDN telah melakukan 848 pemeriksaan premis di Kelantan, Pahang (597 pr), Terengganu (442 premis) dan Kedah (405 premis).

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here