Tiga maut, lima cedera dalam kemalangan

0
138

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIGA maut manakala lima lagi cedera dalam nahas melibatkan sebuah kereta dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 13 Jalan Sengkang-Teratai, Tangkak pada pukul 4.30 petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tangkak, Deputi Superintenden Idris Abdul Rahman berkata, kemalangan berkenaan melibatkan kereta jenis Toyota Altis dari arah Bukit Gambir dilanggar oleh kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah Kampung Teratai.

“Kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda, Toyota Hilux memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan berlaku perlanggaran dengan Toyota Altis tersebut.

“Akibat perlanggaran berkenaan, pemandu, penumpang hadapan serta seorang penumpang di bahagian belakang kereta Toyota Altis meninggal dunia di tempat kejadian sementara seorang lagi penumpang cedera parah dan dibawa ke Hospital Tangkak bagi mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, semua mangsa yang meninggal dunia dihantar ke rumah mayat Hospital Tangkak bagi tujuan bedah siasat.

Beliau memberitahu, tiga mangsa yang meninggal dunia melibatkan pasangan suami isteri berusia 56 dan 52 tahun dan anak perempuan mereka berusia 17 tahun.

Selain itu katanya, seorang lagi anak perempuan pasangan berkenaan yang berusia 15 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

“Kesemua penumpang Toyota Hilux dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar bagi mendapatkan rawatan namun tiada sebarang maklumat terkini mengenai keadaan mereka,” katanya.

Kedua-dua kenderaan yang terlibat dalam kemalangan berkenaan turut dan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut, tambahnya.

Ujar beliau l, siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Pegawai Bomba Kanan II Jahairi Shukor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan berkenaan melalui talian MERS 999 pada 3.42 petang semalam.

Katanya, sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir dengan kekuatan keseluruhan seramai enam anggota dihantar ke lokasi.

“Kemalangan melibatkan lapan penumpang, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here