‘Sanusi cabar Anwar kemuka bukti PN terima dana judi’

0
212

DAKWAAN kononnya Perikatan Nasional (PN) menerima dana judi bagi membiayai kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu, hanya bertujuan untuk menimbulkan persepsi buruk terhadap gabungan itu.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung isu itu juga bermotifkan politik semata-mata.

Katanya, PAS mempunyai dana yang mencukupi tanpa perlu dibiayai pihak lain, berikutan derma daripada ahli-ahli PAS sendiri.

“Ia (isu dana judi) dari awal hanya isu politik sahaja untuk timbulkan persepsi. Persepsi ini ada yang betul, ada yang tak betul.

“PAS ini, duit ahli kita dok (ada) dalam poket, mai (datang) derma… mai derma. Kita haramkan judi di negeri ini, takkan tauke judi nak bagi derma kat kita. Nak buat aktiviti (judi) tak boleh, pergi tanya di negeri yang menghalalkan itu,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tanah Negeri (JKTN) di Wisma Negeri di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Anwar mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Namun, siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

Bagaimanapun Anwar mempertahankan kenyataannya bahawa sebahagian dana PRU dimiliki PN yang juga parti Melayu dan Islam, diperoleh hasil syarikat perjudian.

Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan membuat sebarang dakwaan tanpa asas.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi mencabar Anwar supaya mengemukakan bukti berhubung dakwaannya itu dengan segera.

“Perdana Menteri pun tak boleh siasat sendiri, hanya agensi (SPRM) boleh buka fail. Fail dari agensi bukan dari dia.

“Asas kepada semua dakwaan itu, Sila kemukakan bukti. Sebab dia yang tuduh, jadi dia kena buktikan, beban bukti terletak pada yang tuduh. Sila buktikan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here