Kejatuhan Ringgit:BNM perlu jujur, jangan ‘gula-gulakan’ rakyat-Hassan Karim

KEJATUHAN dan prestasi Ringgit yang jatuh ke paras paling teruk ketika ini menimbulkan keresahan orang ramai kerana dilihat sudah seperti tidak terkawal. Malah dilihat tiada usaha konkrit daripada kerajaan perpaduan dalam menanganinya.

Berikut adalah kenyataan penuh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang melahirkan kebimbangan dengan trend terkini penurunan Ringgit dan mahu Bank Negara Malaysia mengambil langkah segera supaya keadaan tidak bertambah buruk.

BANK Negara Malaysia (BNM) kena tolong kerajaan. Tak kira apa nama kerajaan itu sama ada kerajaan perpaduan atau kerajaan keluarga Malaysia atau kerajaan prihatin.

Perdana Menteri dan Menteri Kewangan atau Menteri Ekonomi mereka adalah pemimpin politik di cabang eksekutif yang menggubal dasar dan melaksanakannya. Tugas mereka untuk seluruh negara. Berat dan luas.

Jadi BNM terutama Gabenornya perlu membantu kerajaan. BNM perlu menasihati Perdana Menteri dan Menteri Kewangan. Kebetulan orang yang sama.

Gabenor BNM kena perjelas kepada Perdana Menteri satu hal spesifik. Misalnya isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). BNM kata kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit. Dah banyak kali OPR dinaikkan oleh Bank Negara tetapi kenapa nilai Ringgit Malaysia semakin jatuh. Contohnya pada hari Jumaat 26 Mei 2023 nilai satu dolar Amerika Syarikat bersamaan RM4.63.

Jadi Gabenor BNM perlu berterus terang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apa sebenarnya punca kejatuhan Ringgit sekarang? Tidak bolehlah BNM menepis dan cuci tangan menyatakan Ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor luar di luar kawalan mereka.

BNM pun tidak boleh berhujah bahawa semua matawang asing juga jatuh macam ringgit. Nasib baik BNM tak cakap macam itu. Ketika nilai Ringgit jatuh berbanding Dolar Amerika, maka kenapa nilai Dolar Singapura dan Rupiah Indonesia naik melonjak.

Jadi Gabenor BNM kena cakap jujur kepada Menteri Kewangan dan Perdana Menteri hal sebenarnya yang menjadi punca kejatuhan Ringgit sekarang ini. Hendak salahkan kerajaan yang ada sekarang pun tidak boleh dan tidak adil. Bukan sekarang sahaja nilai Ringgit jatuh. Kerajaan dulu-dulu pun mengalami kejatuhan Ringgit.

Misalnya, setahun yang lalu pada 22 Mei 2022 ketika Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri, nilai Ringgit juga lemah. Tetapi soalannya kenapa selepas enam bulan kerajaan baru pimpinan Anwar Ibrahim mentadbir dengan pelbagai dasar-dasar kewangan yang baik, tetapi keadaan yang sama masih berlaku. Malah nilai Ringgit lebih rendah berbanding setahun lalu.

Adakah wujud masalah struktur dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia? Kita tidaklah boleh bersorak gembira. Apabila Dolar Singapura melonjak tinggi dan Ringgit Malaysia jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam Ringgit Malaysia.

Kejatuhan Ringgit Malaysia seperti tidak terkawal sekarang ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi Malaysia. Kita mengimport banyak barang dari luar negara. Malaysia juga ada berhutang dengan pihak luar. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, kos sara hidup rakyat dan hutang negara.

Jadi gabenor Bank Negara dan pasukannya perlu memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.Bercakap benarlah walaupun pahit.

Adakah faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan yang menjadi antara punca kejatuhan nilai Ringgit? Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu Perdana Menteri supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan.

Selanjutnya, sebagai contoh, satu agensi dari Kementerian Ekonomi yang bernama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tiba-tiba pada 25 Mei 2023 melaporkan Indeks Pelopor (Leading Index) yang laporannya boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia untuk suku ketiga tahun ini berkembang perlahan. Dalam bahasa harian rakyat ialah ekonomi Malaysia prestasinya tidaklah begitu baik.

Jadi Gabenor BNM kena tolong beritahu hal yang sebenar kepada kerajaan khususnya Perdana Menteri yang menjadi Menteri Kewangan.

Jangan bagi kenyataan gula-gula iaitu kononnya, ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan yang betul dan berkembang. Kononnya, nilai Ringgit jatuh sementara dan terkawal. Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini.

Rakyat Malaysia sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka. Bercakap benarlah wahai Gabenor BN.