Johari dakwa ada syarikat tiada ‘track record’ meterai MoU dengan China

0
122

DATUK Seri Johari Abdul Ghani mendakwa terdapat beberapa syarikat daripada 19 syarikat Malaysia yang menandatangi memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat China hasil lawatan Perdana Menteri ke negara itu baru-baru ini, yang tidak mempunyai ‘track record’.

Membangkitkan perkara itu di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Titiwangsa dari Barisan Nasional (BN) itu turut mempersoalkan adakah Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) atau Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melakukan proses tapisan terhadap syarikat-syarikat tersebut.

“Adakah MITI atau MIDA telah ‘vet through‘ syarikat-syarikat ini sebelum membawa Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menyaksikan tandatangan MoU tersebut?

“Ini kerana, saya nampak, daripada 19 MoU, ada beberapa syarikat tidak mempunyai ‘track record’ untuk kita persembahkan kepada sebuah negara seperti China, yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam masa sama, bekas Menteri Kewangan itu meminta penjelasan daripada MITI mengenai langkah yang akan diambil untuk memastikan komitmen pelaburan dianggarkan berjumlah RM170 bilion itu dapat memberikan manfaat kepada rakyat, termasuk peluang pekerjaan.

“Saya tahu kalau ikut statistik, mana-mana pelaburan langsung asing (FDI) yang dibawa (masuk dalam negara), kita boleh realisasikan sekitar 70 peratus dan ia boleh membantu peluang pekerjaan yang sangat banyak kepada negara,” ujarnya lagi.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Liew Chin Tong memberitahu Dewan Rakyat bahawa MoU yang ditandatangani akan dipantau oleh jawatankuasa secara khusus.

Jelas beliau lagi, MIDA juga telah melakukan proses biasa dalam menilai MoU-MoU tersebut.

“Untuk masa depan sebenarnya, kerajaan dipandu oleh dasar pelaburan baharu atau national investment policy melibatkan lima kriteria.

“Kriteria tersebut ialah kita menerima pelabur asing atau apa-apa pelaburan pun, ialah untuk meningkatkan kemampanan ekonomi bagi menjana pekerjaan bernilai tinggi atau berpendapatan tinggi.

“Selain itu, memperluaskan rangkaian domestik dan mewujudkan kluster ekonomi baharu dan meningkatkan keterangkuman. Ini adalah ‘dashboard‘ kita untuk memantau apa yang kita terima,” jawabnya lapor Astro AWANI.

Sebelum ini, Perdana Menteri ketika lawatan rasmi ke China mengumumkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ia hasil daripada 19 MoU yang dimeterai antara syarikat Malaysia dengan China.

Antara MoU itu ialah perjanjian utama antara DRB-Hicom Bhd dan Zhejiang Geely Holding Group Co., Ltd mengenai cadangan usaha sama dalam pembangunan dan pengkomersialan lembah teknologi tinggi automotif di Tanjung Malim, Perak, untuk kenderaan tenaga baharu serta antara Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia dan Dewan Perniagaan China untuk import dan eksport jentera dan produk elektronik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here