Bicara kes saman Anwar terhadap Muhyiddin bermula Ogos 2024

0
133

PERBICARAAN kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin akan bermula Ogos tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Saman itu berhubung ucapan didakwa berbaur fitnah mengenai Anwar menerima gaji sebanyak RM15 juta semasa berkhidmat sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Peguam Datuk S.N Nair, yang mewakili Perdana Menteri, berkata pada pengurusan kes hari ini, Pesuruhjaya Kehakiman Roz Mawar Rozain menetapkan perbicaraan selama sembilan hari iaitu pada 5,6,7,12,13,14, 26, 27 dan 28 Ogos 2024.

“Mahkamah juga mengarahkan pihak-pihak memfailkan permohonan interlokutari, jika ada, selewat-lewatnya pada 15 Jun 2023. Pengurusan kes seterusnya pada 21 Jun 2023,” katanya ketika dihubungi pemberita.

Prosiding hari ini turut dihadiri seorang lagi peguam Anwar iaitu Jaden Phoon Wai Ken manakala Chetan Jethwani dan Ivy Shu mewakili Muhyiddin.

Pada 20 Dis 2022, Anwar memfailkan saman itu mendakwa Muhyiddin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), membuat kenyataan fitnah tersebut dalam satu ucapan semasa ‘Grand Finale Perikatan Nasional Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sebagai menyokong calon PN Datuk Azman Nasrudin bagi PRU15 pada 5 Dis 2022.

Sehubungan itu, Anwar, 75, menuntut daripada Muhyiddin antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi untuk menghalang beliau daripada terus menerbit atau mengedarkan kenyataan fitnah serupa.

Muhyiddin dalam pernyataan pembelaan pula mendakwa ucapan beliau itu tidak berunsur fitnah sebaliknya adalah komen yang adil selain ia sebahagian daripada kempen politik untuk menyokong Azman.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here