EMRAZ Travel & Tours Sdn Bhd (EMRAZ) telah menerbangkan 45 lagi jemaah umrah ke Tanah Suci malam tadi, iaitu penerbangan yang terakhir sebelum Arab Saudi menutup pintu masuknya bagi laluan jemaah haji 1444 Hijrah.
Penerbangan itu juga merupakan pelepasan jemaah trip khas kedua pemulihan operasi umrah syarikat dalam usaha memantapkan kembali operasi pengurusan umrah yang tergendala sebelum ini.
EMRAZ sebelum ini menerbangkan 34 orang jemaah di bawah trip khas pertama pada 15 Mei lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Zulkarnain Endut menjelaskan, penghantaran jemaah trip kedua dalam masa seminggu memperlihatkan kesungguhan pihak EMRAZ untuk memulihkan syarikat pelancongan itu kembali seperti mana biasa.
Zulkarnain berkata, pihaknya menjangkakan lebih ramai jemaah umrah EMRAZ akan dihantar ke Tanah Suci selepas berakhir musim haji nanti.

“EMRAZ bersedia bekerjasama dengan pihak lain yang ingin menerbangkan jemaah melalui penajaan atau lain-lain dan mereka boleh menghubungi pihak syarikat dengan kadar segera,” kata beliau ketika menyaksikan pelepasan jemaah trip khas kedua tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur malam tadi.
Zulkarnain mengakui proses menghantar semua bakal jemaah umrah dan pemulangan wang bakal mengambil masa sedikit kerana pihak pengurusan EMRAZ sedang giat menyusun semula syarikat pelancongan itu.
Beliau berkata, pihaknya berharap mendapat kerjasama dengan semua pihak untuk memastikan kelangsungan operasi dan juga mengambil pendekatan ‘menang-menang’ kepada semua pihak yang terlibat.
“Pada tahun lalu, EMRAZ menerbangkan lebih 30,000 orang jemaah umrah sekali gus membuktikan syarikat ini bukan ‘scammer’, tanpa mengenakan bayaran tambahan meskipun terdapat kenaikan kos.”
Zulkarnain juga mengulangi kenyataannya bahawa syarikat pelancongan itu dijangka mampu kembali pulih pada Ogos ini dengan melakukan penstrukturan semula dengan kos operasi paling rendah berbanding sebelumnya.
“Penghantaran jemaah bagi trip khas ini bertujuan melihat keupayaan syarikat dan juga menangani kelemahan yang mungkin timbul di Tanah Suci selepas operasi syarikat terjejas sebelum ini,” tambah beliau.
Zulkarnain menjangkakan EMRAZ akan dapat menguruskan purata kira-kira 2,000 orang jemaah sebulan termasuk mereka yang sebelum ini tertunda jadual penerbangannya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.