Padah cuti mengejut, Industri rugi RM3 bilion sehari

SEKTOR industri terpaksa menanggung kerugian dengan jangkaan lebih RM3 bilion sehari jika cuti umum diisytiharkan tanpa perancangan dan dibuat secara mengejut.

Sehubungan itu, peserta industri menggesa kerajaan supaya tidak lagi membuat sebarang pengumuman cuti umum tanpa perancangan dan mengejut sebagaimana yang pernah dilakukan sebelum ini.

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata pengumuman cuti sedemikian adalah membimbangkan memandangkan ia mendatangkan kerugian pendapatan dan produktiviti yang besar kepada industri.

“Kerugian nilai tambah perkilangan sehari adalah sekitar RM1 bilion. Jumlah ini tidak termasuk gaji. Gaji sehari sektor swasta perlu bayar adalah RM700 juta. Jika pengisytiharan cuti umum, ia bermakna perlu membayar tiga kali ganda, bermakna lebih RM2 bilion.

“Maka, ditambah dengan kerugian nilai tambah pembuatan mungkin kerugian melepasi RM3 bilion setiap hari,” katanya ketika ditemui pada Forum Ekonomi Nasional 2023 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) di sini, hari ini.

Thian Lai menegaskan, apa yang dimahukan industri adalah cuti umum yang sudah diwartakan dan bukan pengisytiharan cuti umum tanpa perancangan dan mengejut.

Katanya, pengumuman cuti umum tanpa perancangan dan mengejut sememangnya menjejaskan perkilangan dan perkhidmatan lain.

“Fokus tugas kerajaan adalah bagaimana memajukan ekonomi dan bagaimana menjalankan pentadbiran kerajaan (dan) bukannya mengumumkan cuti umum,” katanya, lapor BH Online.

Antara cuti umum yang diisytiharkan secara mengejut sebelum ini termasuk kelepasan am tambahan semasa sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

Kerajaan bersetuju memberi satu hari kelepasan am tambahan bagi memudahkan rakyat membuat perancangan sewajarnya untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Selain itu, pada tahun lalu hari pelepasan am selama dua hari diisytiharkan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi, sebelum satu lagi hari pelepasan am diumumkan tidak lama selepas itu bagi meraikan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

Dalam pada itu, pada Forum Ekonomi Nasional 2023, NCCIM turut menyampaikan memorandum kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mengenai cadangan dewan perniagaan itu bagi menetapkan hala tuju ekonomi masa depan untuk Malaysia baharu .

Antara cadangan yang dikemukakan termasuk menggalakkan pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI); memastikan ketersediaan tenaga kerja berkemahiran; menggalakkan pendigitalan; memacu memudahkan perniagaan dijalankan; menangani peningkatan hutang negara; mengukuhkan kompleksiti ekonomi dan memberi insentif kepada firma domestik menembusi pasaran global.