Ringgit terus susut, 4.53 berbanding dolar AS

0
173

RINGGIT susut untuk ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Khamis berikutan pengukuhan dolar dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global, kata ahli ekonomi.

Pada 6 petang, unit tempatan turun kepada 4.5365/5395 berbanding dolar AS daripada 4.5250/5275 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS terus meningkat memandangkan pasaran mata wang mungkin tidak yakin kebuntuan mengenai siling hutang AS dapat diselesaikan tepat pada masanya.

“Memandangkan naratif dasar monetari yang terbatas akan menjejaskan ekonomi global, ia juga boleh mengakibatkan penghindaran risiko (kekal ketara), ini membawa kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap dolar AS.

“Kami berpendapat pasaran pertukaran mata wang asing sedang terganggu dengan kegagalan siling hutang AS dalam keadaan kebimbangan mengenai pertumbuhan global yang lemah,” katanya.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding beberapa mata wang utama.

Unit tempatan lemah berbanding pound British kepada 5.6452/6490 daripada 5.6300/6331 ketika ditutup pada Rabu dan rendah berbanding euro kepada 4.9076/9108 daripada 4.9006/9033.

Walau bagaimanapun, ringgit meningkat meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2926/2950 daripada 3.3039/3060 sebelumnya.

Mata wang tempatan juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.

Ringgit susut berbanding rupiah Indonesia kepada 305.0/305.4 daripada 304.2/304.6 pada penutupan dagangan Rabu serta turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3724/3748 daripada 3.3693/3714.

Unit domestik rendah berbanding peso Filipina kepada 8.11/8.13 daripada 8.05/8.06 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.2105/2247 daripada 13.2059/2182. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here