Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta -

Lima lelaki dituduh culik, kurung jurujual demi wang tebusan lebih RM1.12 juta

LIMA orang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas satu pertuduhan menculik seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak lebih RM1.12 juta, hujung bulan lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh, Suhaimi Mat Zin, 41, Zulkarnain Ramli, 46, Wong Guo Song, 33, Muhammad Azam Hatan, 32, dan Yong Zi Hui, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wong Choi, pagi ini.

Mengikut kertas pertuduhan, kelima-lima individu itu didakwa secara bersama-sama dengan maksud menahan, abduksi (culik), dan mengurung seorang lelaki berusia 39 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan bagi tujuan mendapatkan wang tebusan beranggaran sebanyak RM1,125,550, lapor Utusan TV.

Lima lelaki dituduh atas kesalahan menculik dan mengurung seorang jurujual bagi mendapatkan wang tebusan lebih RM1.12 juta ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Kelima-lima tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama dengan yang masih bebas di Jalan Mesra Ria, Brickfields, Kuala Lumpur sekitar pukul 10.30 malam pada 29 April lalu.

Justeru kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta sama.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hukuman sebat jika tidak dihukum mati.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan.

Sementara itu kesemua tertuduh diwakili oleh peguam Tharamjit Sikh, Azinuddin Karim, Ashraff Mohd. Diah, Izzati Yaacop, Izwan Ariff Ibrahim, dan Nasir Nordin.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 Julai depan bagi sebutan semula kes.