KDN, kerajaan tarik balik rayuan berhubung kalimah Allah

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) dan kerajaan Malaysia menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Notis pemberhentian rayuan semakan kehakiman itu difailkan Pejabat Peguam Negara di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya, pada 18 April lalu.

Notis berkenaan, menyatakan bahawa KDN dan kerajaan Malaysia tidak berniat untuk meneruskan rayuan yang difailkan pada 12 Mac 2021 dan memberhentikan keseluruhan rayuan tanpa sebarang perintah terhadap kos.

Perkara itu disahkan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan ketika dihubungi media hari ini dan menyatakan notis pemberhentian berkenaan sudah direkodkan Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Annou Xavier yang mewakili Lawrence Bill berkata, berikutan notis pemberhentian berkenaan, keputusan yang dibuat mahkamah tinggi adalah kekal.

Dalam notis rayuan difailkan KDN dan kerajaan itu, menyatakan ia dibuat selepas tidak berpuas hati terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Nor Bee Ariffin.

Dalam keputusannya, Nor Bee memutuskan kalimah Allah boleh digunakan dalam penerbitan bahan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran dan tiga lagi perkataan yang dibenarkan dalam penerbitan bahan agama Kristian ialah “Kaabah’, Baitullah dan ‘solat’.

Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata arahan oleh KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Isu itu bermula 15 tahun lalu apabila Lawrence Bill memulakan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

CD berkenaan bertajuk ‘Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah’, ‘Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah’ dan ‘Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah’.

Wanita itu memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar penyitaan CD tersebut serta memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan Kristian lapor Berita Harian.