Dahulu kawasan ‘jin bertendang’, Dataran Batu Putih kini dikunjungi ramai

0
386

Oleh MOHD LAZIM ENDUT

DATARAN Batu Putih (DBP) yang terletak antara Kampung Gong Beris dan juga Batangan Marang serta Kalang Warisan di Pulau Manis Serada Kuala Terengganu merupakan antara dua lokasi pelancongan komuniti yang semakin mendapat perhatian ramai.

Setiap hujung minggu dan juga ketika cuti umum kedua-dua lokasi berkenaan sentiasa dipenuhi para pengunjung termasuk dari luar daerah.

Malah ada juga para pengunjung yang datang dari Lembah Klang, Selatan dan Utara membawa keluarga maing-masing bercuti ke lokasi ini.

Kebanyakan mereka ke sini untuk bersantai sambil menjamu selera menikmati kuih muih tempatan di samping menyaksikan keindahan pemandangan alam semula jadi yang menarik.

Ini kerana di kedua-dua lokasi tersebut memiliki pelbagai produk serta keindahan yang tersendiri seperti sungai, pepohon nipah dan bakau manakala pada sebelah malam pula terdapat cahaya kunang-kunang.

Apa yang menarik, Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan suatu ketika dahulu masyarakat setempat pernah menggelarkannya sebagai kawasan ‘jin bertendang’ ekoran ia ditumbuhi oleh pokok-pokok besar terbiar dan juga semak samun.

Bagaimanapun sejak empat tahun lalu kawasan ini telah berubah wajah apabila Kerajaan Negeri Terengganu mengambil inisiatif membangunkannya sebagai lokasi pelancongan komuniti.

Proses awal pembangunan dilakukan sendiri secara gotong rowing oleh masyarakat setempat manakala kerajaan negeri pula cuba membantu dari segi keindahan dan infrastrukur.

Selain Dataran Batu Putih dan Kalang Warisan, lain-lain lokasi pelancongan komuniti yang dibangunkan ialah Sungai Merchang, Pengkalan Berangan, Jenang, Jambu Bongkok, Pulau Serai, Pantai Angin Berbisik, Kampung Mangkuk dan Sentol Patah.

Pendekatan itu diambil memandangkan produk pelancongan membabitkan komuniti setempat mempunyai daya tarikan tersendiri untuk diaplikasikan dalam kalangan masyarakat.

Selain keunikan alam semula jadi dan juga aktiviti harian penduduk ia turut melibatkan makanan.

Bagi Dataran Batu Putih, penulis pernah terlibat pada peringkat awal dengan aktiviti projek tanaman kelapa mataq yang dijayakan oleh penduduk.

Projek dinamakan Rancangan Tanaman Berkelompok (RTB) itu pada peringkat awal membabitkan 30 orang peserta dan diawasi oleh Jabatan Pertanian.

Sebahagian besar peserta yang menjayakannya telah berjaya menuai hasil di mana kelapa mataq mereka turut dijadikan air nira (tuak) selain minuman air kelapa muda.

Melihat kepada perkembangan itu, akhirnya dicadangkan pula pembukaan lokasi pelancongan komuniti yang dinamakan Dataran Batu Putih.

Maka itu, wujudlah beberapa lot gerai tradisional beratapkan daun nipah bagi memberi peluang kepada penduduk menjual produk yang ada di kampung ini.

Antara produk yang diketengahkan ialah manisan kerek (gula melaka) air nira atau tuak, ikan celup tepung, keropok goreng dan kopi nisang asli.

Sementara di Kalang Warisan yang mula dibangunkan sejak dua tahun lalu turut mengentengahkan aktiviti memanah, berkayak dan berkhemah kepada para pengunjung.

Suatu ketika dahulu, ‘kalang’ atau pengkalan paling utama adalah Kalang Masjid yang pernah menjadi laluan utama untuk ke masjid serta ke Makam Tok Pulau Manis.

Kalang ini juga dikatakan pernah menjadi lokasi persinggahan Sultan Terengganu, Sultan Ismail Nasiruddin Shah suatu ketika dahulu.

Bagi memajukan sektor pelancongan komuniti, Kerajaan Terengganu sebelum ini telah menyalurkan peruntukan bernilai RM1 juta dalam usaha untuk mengindahkan sebanyak 39 lokasi terpilih di negeri ini.

Malah, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman mengatakan bahawa pendekatan itu diambil sejajar dengan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu yang menyasarkan kewujudan minima 40 pusat pelancongan komuniti.

Beliau seterus berharap, melalui pendekatan tersebut ia mampu menyumbang kegiatan ekonomi kepada penduduk setempat, sekaligus turut membuka peluang pekerjaan.

Melihat keada sambutan orang ramai terhadap lokasi pelancongan komuniti ini, penulis berharap setiap aktiviti perlu dikembangkan secara konsisten termasuk demonstrasi kerja-kerja anyaman dan kraft serta makanan popular seperti akok, menganang, che Abas demam, otok-otok, sata, ketupat sotong, nekbat, lemper nyur dan pulut nyur. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here