Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Pegawai bomba maut disyaki langgar kerbau -

Pegawai bomba maut disyaki langgar kerbau

SEORANG pegawai bomba maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai terlanggar seekor kerbau di Kampung Purun, Kuala Penyu, malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata mangsa, Mohd Haziq Abdul Jalil, 32, yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Penyu pada 11.30 malam.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan kira-kira 8.40 malam itu berlaku ketika mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Tidong, Kuala Penyu.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai terlanggar seekor kerbau yang berada di atas jalan dan menyebabkannya terjatuh ke atas jalan raya,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata Mohd Haziq kemudian dihantar ke Hospital Kuala Penyu dengan ambulans, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 10.30 malam.

“Empat anggota bomba digegaskan ke lokasi kejadian dan apabila tiba, pihak operasi dimaklumkan terdapat seorang mangsa terlibat iaitu anggota BBP Kimanis telah ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa telah dihantar ke Hospital Kuala Penyu oleh ambulans sebelum ketibaan pasukan bomba. Operasi kemudian ditamatkan pada 11.40 malam,” katanya.

— BERNAMA