Pemuda Umno kritik Mat Sabu berhubung lantikan politik dalam agensi pertanian

0
133

PEMUDA Umno mengkritik keputusan Kementerian Pertanian Makanan dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang dipimpin oleh Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu selepas melantik lima pemimpin Pakatan Harapan (PH) bagi menerajui agensi utama di bawah kementerian itu.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu supaya menarik semula lantikan tersebut kerana tindakan itu adalah bertentangan dengan prinsip kerajaan campuran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dua hari lalu, KPKM mengumumkan lantikan tiga pemimpin Amanah iaitu Faiz Fadzil sebagai pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Mahfuz Omar sebagai pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), manakala Aminuddin Zulkipli dilantik sebagai pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Sementara itu, Azman Ismail dari PKR serta Sheikh Umar Bagharid Ali dari DAP masing-masing diberi tanggungjawab menerajui Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Menurut Akmal, lantikan itu perlu diteliti semula kerana ia bercanggah dengan pendirian reformasi yang diperjuangkan Anwar yang menentang amalan lantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Walaupun itu hak prerogatif menteri seperti kita sedia maklum tetapi kena diambil kira prinsip yang kerajaan pegang dan janjikan,” katanya dalam temu bual bersama Sinar Harian.

“Saya minta perdana menteri lihat semula prinsip yang ditetapkan itu dan teruskan berpegang kepada prinsip berkenaan serta tunaikan apa yang dijanjikan.

“Kalau ia tidak dikotakan, saya risau rakyat akan mula benci, muak dan mereka tak mahu lagi ambil tahu pasal politik negara.”

Pada masa sama, beliau menjelaskan, teguran itu dibuat oleh pihaknya selepas mendapati perbuatan tersebut adalah salah dan perlu diperbetulkan.

Tambahnya, semua pihak tidak kira parti politik perlu tunaikan apa yang telah dijanjikan agar rakyat tidak muak dengan ahli politik.

“Kalau rakyat berasa demikian terhadap kerajaan, maka ini isu serius dan membahayakan,” katanya, lapor MalaysiaNow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here