Simen, pasir, besi catat peningkatan harga

0
162

INDEKS harga seunit simen dan besi mencatatkan peningkatan masing-masing sebanyak 0.3 peratus dan 0.9 peratus pada April lalu, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu berlaku dengan kadar yang lebih perlahan berbanding Mac lalu iaitu 1.1 peratus bagi seunit simen manakala seunit besi mencatatkan peningkatan dengan peratusan sama iaitu 0.9 peratus bagi tempoh sama.

Katanya, peningkatan indeks harga besi adalah seiring dengan trend peningkatan harga bijih besi dan besi utama di peringkat global.

“Bagi tempoh sama bahan seperti pasir, batu bata dan dinding turut mencatatkan peningkatan harga dengan indeks harga seunit batu bata dan dinding meningkat iaitu 1.1 peratus berbanding 1.0 peratus manakala seunit pasir meningkat iaitu 0.5 peratus berbanding 0.4 peratus,” katanya, lapor Kosmo!.

Mohd. Uzir berkata, perbandingan tahun ke tahun bagi indeks harga seunit bahan binaan pula mencatatkan peningkatan indeks di antara 1.3 peratus hingga 8.3 peratus, bagi hampir ke semua bahan binaan kecuali bagi bahan keratan keluli dan logam serta besi.

Ujarnya, Indeks bagi batu bata dan dinding mencatatkan peningkatan tertinggi iaitu 8.2 peratus, diikuti oleh bahan siling 8.1 peratus dan simen 7.7 peratus pada April lalu berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Selain itu, indeks harga bagi seunit besi dan keratan keluli dan logam mencatatkan penurunan masing-masing 2.1 peratus dan 0.3 peratus bagi April lalu berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

Jelasnya, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan ‘Mycon 60 high tensile deformed bars’ adalah RM3,721.72 bagi setiap tan metrik dengan peningkatan 0.8 peratus berbanding Mac lalu iaitu RM3,690.90 per tan metrik. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here