Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Perlembagaan tak halang penukaran kerajaan, kata Azmin -

Perlembagaan tak halang penukaran kerajaan, kata Azmin

MENUKAR kerajaan bukanlah sesuatu yang luar biasa atau dilarang selain ianya dibenarkan oleh Perlembagaan, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, ketika spekulasi bertiup kencang kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang sokongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa itu berkata, peruntukan Perlembagaan membolehkan sesebuah kerajaan itu dirombak apabila gagal untuk memenuhi aspirasi rakyat.

“Mereka (kerajaan) lebih banyak bercakap daripada bertindak, seolah-olah terputus daripada realiti, situasi, keluhan dan masalah rakyat di bawah,” kata pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu kepada pemberita di Gombak, Selangor hari ini.

Awal minggu ini heboh desas-desus terdapat gerakan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Anwar, menimbulkan pelbagai spekulasi di media sosial.

Ia selepas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman yang memuat naik catatan: “126 dah.. jika benar Alhamdulillah” di laman sosial Facebook.

Catatan itu mencetuskan persoalan yang mana ia dianggap sebagai bayangan bahawa gerakan itu bukan sekadar spekulasi.

Azmin yang mengulas mengenai perkara itu, menyifatkan ia sebagai keluhan daripada rakyat disebabkan kerajaan gagal untuk menyelesaikan pelbagai isu sedang dihadapi termasuk kos sara hidup dan ekonomi.

“Maka keluhan ini akan diterjemahkan dalam bentuk tindakan dalam kalangan pemimpin, ahli Parlimen mewakili rakyat di kawasan masing-masing.

“Selagi ianya terikat dengan peruntukan perlembagaan undang-undang, ianya boleh dilakukan,” katanya lapor Malaysianow.

Azmin bagaimanapun enggan mengulas apabila ditanya, bilakah kerajaan pimpinan Anwar akan tumbang.