Siti Bainun dihantar ke Penjara Kajang, mahkamah tolak permohonan tangguh hukuman

0
123

PENGASAS Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Sesyen di sini menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman.

Hakim Izralizam Sanusi berkata tiada keadaan khas dan luar biasa bagi membolehkan mahkamah membenarkan penggantungan pelaksanaan hukuman.

“Tertuduh disabitkan bersalah di mahkamah ini dan tiada sebab untuk saya menangguhkan hukuman penjara yang dijatuhkan terhadapnya. Faktor bahawa tertuduh menjaga ibunya adalah perkara peribadi tertuduh. 

“Dalam kes ini, saya berpendapat keadilan dapat disampaikan sebaik-baiknya melalui pelaksanaan hukuman dengan serta-merta dan oleh itu, permohonan tertuduh ditolak dan mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dengan serta-merta,” katanya.

Terdahulu, beliau menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati dia bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya seorang remaja perempuan sindrom Down yang dikenali sebagai Bella.

Siti Bainun, 31, yang memakai blaus berwarna kuning cair dan berseluar hitam dilihat tenang semasa mahkamah membuat keputusan itu.

Dalam permohonan itu, peguam Mohammad Farhan Maaruf berhujah Siti Bainun tidak pernah disabitkan dengan mana-mana kesalahan jenayah dan kesalahan yang dipertuduh ke atasnya di mahkamah ini merupakan yang pertama.

“Dia tidak pernah melanggar sebarang syarat jaminan selain tiada risiko untuk melarikan diri memandangkan pasportnya telah diserahkan kepada mahkamah sejak kes bermula.

“Anak guam saya juga dikenakan ikat jamin yang tinggi iaitu sebanyak RM17,000 dan dia sentiasa menghadiri prosiding berkenaan.

“Sekiranya penggantungan pelaksanaan hukuman ini tidak dibenarkan maka rayuan anak guam saya ke Mahkamah Tinggi akan menjadi sia-sia dan status quo tertuduh tidak dapat dikekalkan sama sekali memandangkan tertuduh perlu menjalani hukuman terlebih dahulu,” katanya sambil menambah Siti Bainun mempunyai masalah kesihatan iaitu asma dan penyakit hempedu.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here