Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
'Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang' -

‘Ada desakan dalam DAP tukar Chow, Lim kembali jadi KM P Pinang’

TERDAPAT desakan dalam DAP dikatakan bertujuan menyekat Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow daripada kembali memegang jawatan itu selepas pilihan raya negeri akan datang.

Perancang dikatakan mahu Pengerusi DAP Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri itu.

Antara yang mendesak agar Lim mengadakan kemunculan semula di Pulau Pinang ialah tiga Adun yang mahu dia bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Dalam pertemuan bersama Malaysiakini semalam, ketiga-tiga mereka – yang enggan dinamakan – mendakwa Chow dilihat tidak berkesan sebagai ketua menteri.

“Chow lembut dan perlahan dalam membuat keputusan untuk negeri, sedangkan Lim walaupun dilihat sebagai pemimpin yang angkuh, tetapi dia menunjukkan dirinya pemimpin kuat negeri, merujuk kepada bekas ketua menteri Lim Chong Eu, yang tegas, kuat, dan pemimpin yang berterus-terang,” kata salah seorang daripada mereka.

“Chow tidak melakukan apa-apa dalam tempohnya sebagai ketua menteri. Tiga pulau selatan dan projek terowong bawah laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang semuanya adalah idea Lim,” tambah mereka.

Ketiga-tiga Adun itu berkata Pulau Pinang memerlukan pemimpin yang kuat dan berkesan sekali lagi terutamanya untuk menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mohammad Sanusi Md Nor – sekiranya dia kembali menerajui Kedah.

Mereka juga mencadangkan pelan peralihan sekiranya Lim kembali menjadi ketua menteri Lim menghadapi tentangan daripada masyarakat Melayu.

Dalam keadaan sedemikian, ketiga-tiga mereka berkata seorang ketua menteri sementara boleh dilantik untuk berkhidmat selama satu atau dua tahun bagi membolehkan orang Melayu “bertenang” sebelum digantikan oleh Lim.

Secara berasingan, seorang lagi pemimpin DAP turut berkata sesetengah ahli DAP lebih mengutamakan kepimpinan yang lebih kuat di Pulau Pinang.

“Chow bertindak lebih seperti penjawat awam (daripada ahli politik),” kata sumber yang berpangkalan di selatan Malaysia itu.

Bagaimanapun, beberapa sumber memberitahu Malaysiakini, mereka tidak jelas apakah pendirian Lim sendiri mengenai perkara itu.

Walaupun ada desakan dalaman, undang-undang Pulau Pinang mungkin menghalang Lim daripada memegang jawatan ketua menteri untuk penggal ketiga.

Pada 2018, pentadbiran Chow meluluskan pindaan kepada perlembagaan Pulau Pinang yang berbunyi: “anggota dewan undangan boleh dilantik sebagai ketua menteri jika mereka tidak pernah memegang jawatan itu selama dua penggal.”

Chow yang berhasrat terus menyandang jawatan ketua menteri dipetik Guan Ming Daily baru-baru ini berkata undang-undang had penggal itu adalah bersifat retroaktif (terpakai untuk tempoh sebelum tarikh ia digubal).

Ini dengan berkesan menyekat laluan Lim untuk memegang semula jawatan ketua menteri.

Salah seorang Adun Pulau Pinang yang menyokong pertukaran kepimpinan bagaimanapun percaya sebaliknya.

“Undang-undang gagal menyatakan sama ada ia hanya berkesan selepas rang undang-undang itu diluluskan atau tidak, dan sama ada seseorang yang memegang jawatan itu sebelum undang-undang itu diluluskan boleh dilantik,” kata mereka.

Mereka juga mencadangkan bahawa walaupun perlembagaan negeri menghalang Lim kembali menerajui pentadbiran, peruntukan itu boleh dipinda untuk membuat pengecualian kepada Lim.

Satu lagi halangan bagi pengerusi DAP itu ialah kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang.

Bagaimanapun, ketiga-tiga Adun berkenaan percaya Lim akan didapati tidak bersalah.

“Jika Lim dibersihkan dalam kes rasuah projek terowong, tidak ada masalah untuk Lim memimpin negeri ini,’ kata mereka.

Lim dibicarakan atas empat pertuduhan rasuah melibatkan berjuta-juta dalam dakwaan sogokan daripada projek terowong itu.

Lim telah berkhidmat sebagai Adun Air Putih selama tiga penggal, dan menjadi ketua menteri dari 2008 hingga 2018.

Dia sebelum ini merupakan setiausaha agung DAP selama tiga penggal dari 2004 hingga 2022.

Perlembagaan DAP meletakkan had tiga penggal untuk jawatan setiausaha agung parti.