Peruntukan Ahli Parlimen pembangkang hanya untuk perbelanjaan pentadbiran

0
156

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan pada masa ini bersedia untuk memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang hanya untuk perbelanjaan berkaitan hal pentadbiran sahaja.

Beliau berkata, rundingan berkaitan peruntukan berkenaan kini sedang dilakukan oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Jelasnya, jumlah sebenar peruntukan hanya dapat ditentukan selepas rundingan terbabit selesai sebelum ianya diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Perkara itu Timbalan Perdana Menteri II yang uruskan, beliau yang mengadakan siri perbincangan bersama wakil pembangkang bagi memuktamadkan keputusan.

“Di peringkat awal kita setuju untuk perbelanjaan pentadbiran, perkara ini akan diumumkan sendiri Perdana Menteri setelah semua (proses) selesai,” katanya pada sidang akhbar di Baling, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan bagi meninjau kerja pembinaan rumah mangsa banjir Kampung Iboi di Desa KEDA Sadek di Kupang.

Fadillah dilaporkan berkata, kerajaan Perpaduan tidak menetapkan sebarang syarat kepada Perikatan Nasional (PN) bagi membolehkan agihan peruntukan disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Beliau memaklumkan, kerajaan hanya mahu pembangkang mengemukakan tawaran rasmi dalam urusan itu seperti yang dilakukan ketika pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, pembahagian kerusi antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri Kedah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) hampir diselesaikan kedua-dua gabungan itu.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, pembahagian kerusi di lima lagi negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang juga sedang dimuktamadkan.

“Kita hampir memuktamadkan pembahagian kerusi untuk negeri Kedah dan lain-lain negeri pula (akan diselesaikan) apabila saya berada di negeri berkenaan,” katanya lapor Warta Rakyat.

Sebanyak enam negeri dijangka mengadakan PRN pada Julai ini, dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkemungkinan dibuat seawal penghujung Jun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here