Diskaun kecuali dalam perbicaraan mahkamah

0
140

SEMUA saman trafik untuk kesalahan pada 2022 dan sebelumnya layak menikmati Kadar Khas Bayaran Saman RM50 kecuali saman yang masih belum selesai perbicaraan mahkamah kerana ia merupakan luar bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata tawaran yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam berbeza daripada tawaran diskaun saman PDRM sehingga 60 peratus sempena Peringatan Hari Polis ke-216 baru-baru ini.

Beliau berkata diskaun sempena Hari Polis sebelum ini mempunyai beberapa jenis saman yang tidak layak untuk diberikan diskaun pengurangan antaranya kes kemalangan, kesalahan tidak boleh kompaun, tidak patuhi isyarat lampu merah dan saman berstatus waran.

“Tetapi bagi Kadar Khas Bayaran Saman yang diumumkan Perdana Menteri semalam ia berbeza dan lebih berbaloi daripada diskaun 60 peratus itu kerana orang awam hanya perlu bayar RM50 untuk satu saman.

“Orang awam boleh membayar saman terbabit secara dalam talian melalui aplikasi MyBayar Saman dan secara fizikal di semua kaunter bayaran trafik di Ibu Pejabat Polis Kontinjen dan Daerah di seluruh negara bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mat Kasim berkata PDRM juga tidak menetapkan had jumlah saman trafik yang boleh dibayar oleh orang awam dalam tempoh itu serta mengalu-alukan mereka untuk menjelaskan kesemua saman yang ada.

Semalam, Anwar mengumumkan Kadar Khas Bayaran Saman sebanyak RM50 bagi semua saman trafik tahun 2022 dan sebelumnya, bermula 21 April hingga 21 Mei.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here