PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) menyokong gesaan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor agar lebih banyak dana diperuntukkan bagi perkhidmatan kesihatan di Sabah kerana negeri itu telah lama diabaikan.
Presidennya, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, infrastruktur di Sabah “sangat memerlukan naik taraf”.
Beliau berkata, kerap berlaku kes kerosakan mesin, masalah peralatan perubatan tidak cukup atau usang, dan masa menunggu yang lama untuk pembaikan dan penyelenggaraan.
“Ini berlaku hampir setiap hari di Sabah. Pengabaian puluhan tahun oleh Putrajaya memburukkan keadaan,” katanya, lapor FMT.
Hajiji sebelum ini berkata, kebanyakan hospital dan klinik di Sabah berada dalam keadaan usang.
Menjawab kenyataan itu, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, peruntukan kesihatan adalah berdasarkan kajian terperinci mengenai keperluan setiap negeri, dan menjadi tanggungjawab setiap kerajaan negeri untuk memastikan peruntukan digunakan secara optimum bagi memenuhi keperluan rakyat.
Muruga berkata, terdapat kekurangan kemudahan pakar dan kerana tiada mesin imbasan PET disediakan di Sabah, pesakit terpaksa pergi ke Putrajaya untuk mendapatkan perkhidmatan itu.
Mesin imbasan PET digunakan untuk mengesan penyakit dalam badan.
“Penyaluran salah perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kekurangan kemudahan di pantai timur Sabah juga menjadi isu. Pesakit perlu pergi jauh ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan imbasan MRI kerana ia tidak ada di pantai timur Sabah,” katanya.
Beliau juga berkata, Sabah menjadi pusat tumpuan pendatang tanpa dokumen yang ramai, mengakibatkan penggunaan sumber perubatan lebih banyak.
Bekas menteri kesihatan Sabah Frankie Poon juga bersetuju bahawa banyak hospital dan klinik di negeri itu perlu dinaik taraf.
“Oleh sebab kita mempunyai 24 hospital untuk diselenggara, kita perlu lebih banyak (peruntukan) berbanding negeri lain,” katanya.
Poon berkata, ramai rakyat Sabah yang memerlukan rawatan khusus terpaksa menunggu lama, kadangkala berbulan-bulan untuk menerima rawatan kerana bukan semua pakar ditempatkan di sana secara tetap.
Tambahnya, ramai rakyat Sabah terpaksa memandu berjam-jam untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan di kawasan lain jika tidak terdapat di kawasan berhampiran.
“Kami hanya ada satu hospital besar di Sandakan, jadi jika anda berada di Lahad Datu, anda akan ambil masa kira-kira dua jam setengah untuk sampai ke sana,” katanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.