Suspek cetus kebakaran di parkir KLCC ditahan

0
121

POLIS menahan lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian membakar 13 motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir Suria KLCC, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 4 petang semalam yang telah berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

“Susulan kejadian, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Dang Wangi membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sebelum menahan lelaki terbabit beberapa jam selepas insiden.

“Polis juga merampas sebuah motosikal jenis RS, serangkai kunci motosikal, satu helai baju dan satu helai seluar, satu sarung tangan, satu beg, satu jam tangan dan satu pemetik api,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek terbabit direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 19 April depan.

“Pada masa ini pihak polis menerima 10 laporan daripada mangsa berhubung kejadian khianat ini serta masih lagi mengesan motif sebenar suspek,” katanya, lapor Harian Metro.

Noor Dellhan turut menasihati orang ramai untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang, dengan tindakan boleh dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

Kebakaran itu turut tular di media sosial sejak semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here