[VIDEO]Harga barang naik jejas pendapatan pengusaha kuih raya

SAMBUTAN Aidilfitri tidak lengkap tanpa hidangan kuih muih dan biskut raya. Namun kenaikan harga barang serta keadaan ekonomi yang kurang stabil sedikit sebanyak memberi ‘tempias’ kepada pengusaha kuih raya.

Buktinya apabila tempahan kuih raya tidak ‘selebat’ seperti tahun-tahun sebelum ini. Ramai yang memilih untuk membuat biskut raya sendiri demi berjimat cermat.

Bagi pengusaha kuih raya Sheriz Said Homemade Licious, Siti Nor Sherizan Mohd Said,32 berkata tahun ini perniagaan kuih rayanya sangat kurang berbanding tahun lalu.

“Tahun ini sangat mencabar kerana harga bahan mentah naik mendadak. Begitu juga harga bahan ‘bakery’. Kalau naik sedikit tidak mengapa, tetapi naik sehingga RM5.

“Bayangkan tahun lepas, saya beli harga telur gred A RM 12 sekarang sudah RM15. Harga Nutella tiga kilogram sebelum ini RM118, sekarang sudah cecah hingga RM122. Itu tidak termasuk harga tepung dan lain-lain,” katanya yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan biskut raya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, bagi menarik pelanggan dia tiada pilihan selain mengekalkan harga sedia ada dan mengurangkan kuantiti biskut raya.

“Saya selalu tempat diri sendiri di tempat pelanggan dan sedaya upaya mahu membantu mereka sebab itu masih mengekalkan harga lama iaitu RM21 hingga RM28 bergantung kepada jenis biskut raya dan jual secara kombo empat balang RM100,” katanya.

Bagi pengusaha biskut raya, Honeyzah_Kitchen, Nor Honeyzah Ahmad Tah, 56, kenaikan harga bahan mentah turut menjejaskan permintaan biskut raya keluarannya.

“Saya boleh katakan permintaan agak ‘merundum’ kerana ramai memilih untuk membuat biskut raya sendiri.

“Lagi pula dengan keadaan ekonomi, bahan mentah naik ditambah raya dalam keadaan belum dapat gaji begi kakitangan swasta. Tapi saya tetap bersyukur kerana masih ada pelanggan tetap mahukan biskut raya buatan saya.

“Pada saya, walaupun untung sedikit, saya seronok kerana dapat beri apa yang pelanggan mahu. Saya memilih untuk tidak menaikkan harga, tetapi hanya mengurangkan kuantiti,” katanya-SB.