Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Air hitam mengalir: Kanak-kanak sedang mandi cedera terkena bahan kimia -

Air hitam mengalir: Kanak-kanak sedang mandi cedera terkena bahan kimia

SEORANG kanak-kanak perempuan nyaris cedera parah setelah terkena bahan kimia menerusi paip dalam bilik air di rumahnya di Kepong, Kuala Lumpur pukul 6 petang semalam.

Mangsa berumur enam tahun itu dipercayai sedang mandi semasa kejadian berkenaan.

Bapa mangsa yang mahu dikenali sebagai Hasnol, 33, berkata, bahan kimia berkenaan mengalir melalui paip milik jirannya.

“Saya terkejut setelah mendengar jeritan anak, saya terus menerpa ke dalam bilik air sebelum mendapati ada air hitam yang mengalir pada paip jiran tingkat atas yang terletak di bawah pancuran air.

“Saya panik setelah anak kata dia kepedihan akibat terkena bahan tersebut sebelum saya bergegas naik ke rumah jiran di tingkat atas untuk memberitahu mengenai perkara terbabit,” katanya hari ini.

Dia terus membawa anaknya itu mendapatkan rawatan lanjut di klinik berhampiran.

“Saya lega setelah doktor memaklumkan dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesan merah di seluruh badannya juga sudah hilang.

“Jiran maklumkan yang paipnya tersumbat, menyebabkan dia terpaksa guna bahan kimia tersebut untuk memastikan saluran air kembali seperti biasa,” katanya.

Jelasnya, kejadian seperti itu seharusnya tidak berlaku kerana ia boleh mengundang risiko dan bahaya kepada pihak lain.

“Sepatutnya tak boleh ambil tindakan sendiri dengan memasukkan bahan kimia untuk selesaikan masalah paip tersumbat, sebab ia berisiko.

“Saya tak buat laporan polis kerana tak mahu panjangkan perkara ini, namun saya harap apa yang berlaku ini tidak berlaku kepada orang lain di luar sana,” katanya, lapor Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai ketika dihubungi berkata semakan setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian.