MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan memberi komitmen 100 peratus bagi memastikan Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA 23’) di Langkawi, berjalan lancar.
Komitmen itu diberikan beliau walaupun beberapa program dan acara, dipercayai anjuran agensi dan jabatan Persekutuan, yang awalnya turut membabitkan Menteri Besar (MB) telah diganti dengan pegawai lain.
Pengerusi PN Kedah itu berkata beliau telah mengarahkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh LIMA’23 tidak terganggu.
“(Ini) bagi memastikan semua acara di LIMA’23 pada 23 hingga 27 Mei akan datang berjalan lancar dan sempurna.
“Misalnya Syarikat Air Darul Aman telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh itu tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan mendadak,” katanya lapor Agenda Daily.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi mendakwa beliau dilarang daripada menghadiri sebarang majlis dan program Kerajaan Persekutuan termasuk LIMA’23.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata semua infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi dan Empangan Saga dan Bukit Malut disenggara sebaiknya untuk memastikan bekalan dapat dibekalkan dengan sempurna.
Beliau juga berkata agensi kerajaan negeri yang lain, khususnya di Langkawi, telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA’23.
“Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, deligasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung… Selamat Datang Ke Pulau Langkawi Permata Kedah.
“Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat,” katanya sambil memetik hadis 6136 riwayat Al-Bukhari yang bermaksud:
“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat makan jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya. Juga sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka berkatalah dengan perkataan yang baik atau hendaklah dia diam.”
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.