Lelaki mula misi jalan kaki dari JB ke Istana Negara tuntut pengeluaran KWSP

0
420

SEORANG lelaki memulakan misinya berjalan kaki dari Tol Skudai di Johor Bahru ke Istana Negara di Kuala Lumpur bagi menuntut kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP, malam tadi.

Menerusi perkongsian di TikTok, lelaki dikenali sebagai Noorazlan Ismail menceritakan tujuannya berjalan kaki.

“Assalamualaikum sahabat. Saya akan mula berjalan insyaAllah dari Tol Skudai. Jika diizinkan sampai ke Istana Negara insyaAllah untuk memperjuangkan (pengeluaran) KWSP.

“Kami memerlukan sangat-sangat (pengeluaran KWSP) demi kelangsungan hidup. Terima Kasih,” katanya.

Dalam pada itu, kemaskini status Noorazlan kira-kira pukul 10 pagi memaklumkan dia sudah menghampiri susur Sedenak, kira-kira 27 km dari Tol Skudai.

Katanya, dia dalam keadaan baik namun tapak kakinya melecet. Dia juga tidak menolak keadaan itu atas faktor dia kurang bersenam.

“InsyaAllah (akan teruskan) demi anak-anak dan keluarga serta pencarum memerlukan seperti saya,” katanya.

Sementara itu, misi Noorazlan diketahui menerusi perkongsian semula status wakil Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR), Putri Fira Afandy di akaun TikTok miliknya.

Katanya, dia meminta orang ramai mendoakan kejayaan misi lelaki itu berjalan kaki ke Istana Negara.

“Beliau nak buktikan beliau memerlukan sangat-sangat pengeluaran KWSP 2.0 demi keluarga dan mewakili suara semua pencarum, doakan beliau.

“PGIRM telah dapat menghubungi beliau untuk diberikan bantuan tetapi beliau tekad untuk menghabiskan misi berjalan kaki dari Johor Bahru ke Istana Negara,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here