Mengapa tergesa-gesa ke Arab Saudi – Soal Wan Fayhsal

0
130

AHLI Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dari Perikatan Nasional (PN) mempertikaikan Pejabat Perdana Menteri (PMO) kerana tergesa-gesa merancang lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Arab Saudi baru-baru ini.

Katanya, lawatan rasmi itu disifatkan memalukan Malaysia dan Arab Saudi kerana kegagalan Anwar bertemu dengan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman dan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz.

“Mengapa PMO boleh membuat lawatan tergesa-gesa, yang mengatakan seolah-olah ada lawatan rasmi, tetapi sebenarnya tidak ada?

“Kami menuntut penjelasan tuntas daripada perdana menteri dan menteri luar negeri. Jangan kita ulangi kesilapan diplomatik yang merugikan negara,” katanya pada satu sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Anwar mengakhiri lawatan ke Arab Saudi baru-baru ini tanpa bertemu rakan sejawatnya Mohammed Bin Salman.

“Sebelum berangkat pulang, kerajaan Arab Saudi juga memohon agar saya melanjutkan lawatan ini bagi membolehkan beberapa pertemuan dengan pimpinan lain dilakukan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan Arab Saudi, namun atas kekangan waktu dan jadual mendatang yang agak padat saya harus pulang ke ibu negara,” menurut satu kenyataan oleh Anwar, lapor MalaysiaNow.

Wan Fayshal berkata, berbanding lawatan Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa beberapa kejayaan hasil lawatan dengan negara Arab itu antaranya tambahan kuota haji selepas Covid-19 selain minat menggandakan pembelian minyak sawit Malaysia yang mencecah RM1 bilion.

Beliau yang juga ketua Pemuda Bersatu berkata, Wisma Putra tidak menunjukkan butiran hasil lawatan Anwar.

“Ia memberi kesan kepada hubungan dua hala Malaysia dan Arab Saudi.

“Apakah benar kerajaan Arab Saudi tidak mahu bertemu dengan perdana menteri,” soalnya.

Menurut beliau, PN berharap agar soalan-soalan berhubung lawatan itu akan dijawab oleh Anwar esok semasa sesi pertanyaan perdana menteri di Dewan Rakyat esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here