Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal -

Cubaan 10 PATI ceroboh perairan negara gagal

CUBAAN 10 pendatang tanpa izin (PATI) warga Indonesia untuk menyusup masuk melalui perairan negara, gagal apabila ditahan Trup Pengawasan Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), kelmarin.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam kenyataan, memaklumkan warga asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita itu berusia antara 12 sehingga 43 tahun itu ditahan menerusi Op Merpati I pada jam 11.50 malam.

Katanya, operasi berkenaan dijalankan di kawasan Tanggungjawab Operasi (KTJ) Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Trup pengawasan 2 KAD yang dipertanggungjawabkan melaksanakan Op Merpati I bermula 19 Mac lalu hingga 19 Mei depan berjaya menghidu kehadiran PATI terbabit melalui Radar Gempita 8X8.

“Hasil pemeriksaan hanya seorang daripada mereka memiliki dokumen perjalanan yang sah dan kesemua tahanan kemudian dibawa ke Balai Polis Bayu Damai, Johor untuk proses dokumentasi,” katanya, lapor BH Online.

Menurut kenyataan itu, menerusi operasi itu wang tunai berjumlah RM16,594.20 dan 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas.

“Kesemua 10 PATI itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia Johor Bahru pada jam 11 pagi.

“Ketumbukan 3 Divisyen akan terus komited memperkasa kawalan keselamatan di sempadan negara melalui pemantauan serta penguatkuasaan bagi memastikan jenayah rentas sempadan dapat dikekang demi kedaulatan negara,” katanya.