Dah ada ‘Datuk’ nak ‘Datuk Seri’, lelaki rugi hampir RM400,000 ditipu

0
128

SEORANG lelaki bergelar Datuk kerugian hampir RM400,000 susulan diperdaya membayar secara ansuran sejak 2019 bagi mendapatkan darjah kebesaran Datuk Seri.

Ketua Polis Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata susulan itu enam lelaki diberkas dalam empat serbuan berasingan di Pulau Pinang, Terengganu, Selangor, dan Johor, pada Selasa, oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Melaka.

“Semua suspek berusia lingkungan 33 dan 44 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku sekitar 2019 selepas mangsa yang juga ahli perniagaan dihubungi seorang daripada suspek yang menyamar sebagai ‘Datuk Fadhil’ dari Istana Negara.

“Mangsa berusia 63 tahun dihubungi lelaki bergelar ‘Datuk Fadhil’ yang kononnya dari Istana Negara dan memaklumkan dia akan diberikan gelaran Datuk Seri, namun perlu melalui proses pembayaran sebanyak RM300,000 sebelum diberikan pingat.

“Tanpa rasa curiga mangsa kemudian bersetuju dan mula membuat 13 transaksi pemindahan wang ke dalam beberapa akaun berbeza diberikan oleh suspek bernilai keseluruhan RM396,400 sejak 21 Jun 2019,” katanya menurut Kosmo.

Katanya, suspek pada 30 Mac 2021 ada menghubungi mangsa memaklumkan akan menghantar wakil berjumpa dengannya di luar pintu 2 Istana Negara bagi urusan pembayaran baki RM70,000 serta serahan surat tawaran watikah ‘Datuk Seri’.

Mangsa ujar beliau, mengikut arahan dan menandatangani serta meletakkan cap ibu jarinya ke atas surat tawaran itu.

Katanya, selepas membuat semakan, mangsa mendapati tawaran watikah diberikan itu adalah palsu.

Christopher berkata, semua suspek direman empat hari hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here