Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi -

Tuduhan rasuah: Wan Saiful akan kemuka representasi

BEKAS Ketua Penerangan Bersatu Datuk Wan Saiful Wan Jan akan mengemukakan representasi membabitkan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa, yang dihadapinya.

Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad yang mewakili Wan Saiful, 48, semasa sebutan kes kali pertama di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali berkata pihaknya telah menyerahkan sebahagian dokumen kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah hari ini.

“Bagaimanapun, sebahagian lagi dokumen-dokumen lain seperti dokumen bank dan dokumen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan diserahkan nanti. Oleh itu, pihak kami mohon masa untuk mendapatkan dokumen asal daripada bank,” katanya.

Semasa prosiding itu, Rozina menegur Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu supaya datang lebih awal ke mahkamah.

“Saya harap ini kali pertama dan terakhir, (datang lewat ke mahkamah) selepas ini sila rancang perjalanan kamu,” kata hakim itu.

Wan Saiful kemudian memohon maaf dan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah keluar rumah pada 7.15 pagi namun tidak menyangka perjalanan mengambil masa selama dua jam.

Mahkamah kemudian menetapkan 8 Mei untuk sebutan semula kes.

Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suapan wang tunai berjumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Syarikat Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua perbuatan tersebut di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai 2022 hingga 30 Sept 2022.

— BERNAMA