Rogol adik kandung: Abang mangsa dihantar ke Sekolah Henry Gurney

REMAJA lelaki berusia 15 tahun yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan merogol adik kandungnya sehingga melahirkan anak bulan lalu telah diperintahkan oleh Mahkamah Majistret JempolA pada Selasa untuk dihantar ke Sekolah Henry Gurney.

Majistret, Norshazwani Ishak membuat keputusan itu selepas meneliti laporan sosial remaja terbabit yang dikemukakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mahkamah memerintahkan remaja itu dihantar ke Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka selama tiga tahun, bermula Selasa.

Malah, ibu bapa atau penjaganya hanya dibenarkan melawat remaja itu sekali sahaja dalam tempoh sebulan.

Media pada 23 Februari lalu melaporkan tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan adik kandungnya sendiri pada jam 11 malam hingga 12 tengah malam di antara 21 Jun hingga 30 Jun 2022 di sebuah kediaman di Jempol.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama pada waktu sama di antara 1 September 2022 hingga 10 September 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, adik kandung tertuduh berusia 14 tahun melahirkan bayi lelaki cukup sifat.

Ketika seorang pegawai perubatan bersama kakitangan klinik kesihatan datang ke rumah, remaja itu berada di atas katil di ruang tamu dan bayi berkenaan berada di dalam besen serta keadaan uri masih bersambung.

Pegawai berkenaan, kemudiannya memotong tali pusat bayi dan membawa ibu dan anak ke klinik kesihatan untuk rawatan sebelum dirujuk ke hospital lapor Astro AWANI.