ADUN Pas tegur kerajaan Kelantan:Membangun bersama Islam tapi abai ruang solat

0
164

HASSAN Mahamood (PN-Tawang) menegur
kerajaan negeri Kelantan supaya menitikberatkan kepada aspek ruangan kawasan solat dalam sebarang perancangan pembangunan mereka.

Perkara itu dibangkitkan Hassan ketika bangun mengemukakan soalan tambahan berhubung perancangan pembangunan Terminal KB Sentral.

“Tadi Exco ada menyebut beberapa komponen yang akan dibina, bagaimana dengan ruangan solat?
Maaflah saya nak tegur kerajaan, lepas-lepas dah walaupun kita Membangun Bersama Islam tetapi kerajaan dalam merancang itu tidak memberi perhatian kepada ruangan solat, termasuklah di lapangan terbang.

“Saya nak tanya kerajaan dalam komponen ini ada atau tidak untuk bina ruangan masjid?

“Kita kadang-kadang malu, kita pergi ke Bangkok di lapangan terbangnya ruangan solat luas. Dia (Thailand) Buddha, kita Islam tapi nak sembahyang berjujuk beratur,” kata wakil rakyat Pas itu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN)di Kota Bharu, hari ini.

Membangun Bersama Islam merupakan slogan dan dasar dan pentadbiran kerajaan Pas Kelantan yang bermula sejak Allahyarham Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Menteri Besar.

Sementara itu Exco Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan Kelantan, Hanifa Ahmad mengakui terlepas pandang untuk menyatakan kemudahan itu ketika menjawab pertanyaan mengenai perkembangan projek KB Sentral tersebut.

“Sebenarnya ada ruang solat, akan bina surau. Cadangan kita nak wujudkan masjid tetapi ia sudah ada berhampiran.

“Maka kita cadangkan supaya didirikan surau di tengah-tengah kompleks KB Sentral. Ada dalam pelan, tadi saya tertinggal (sebut),” katanya.

Untuk rekod projek KB Sentral turut dikenali sebagai Terminal Pengangkutan Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) yang dirancang kerajaan Kelantan sebelum ini tergendala kerana tiada kesanggupan bagi pihak kontraktor.

Ini menjadi perhatian ramai selepas tularnya keadaan stesen bas berkenaan yang dikaitkan sesetengah pihak sebagai sangat daif.

Terminal itu menempatkan stesen bas utama bagi bas-bas ekspres keluar masuk Kota Bharu.

Terdahulu Hanifa (PN-Pengkalan Pasir) menjelaskan projek penbangunan KB Sentral yang akan menelan belanja keseluruhan bernilai RM172 juta itu sudah melalui proses lantikan kontraktor.

Secara asas menurutnya pembangunan KB dan diintegrasi dengan stesen ECRL di Tunjong, Kota Bharu.

“Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan siap pada pada 2027, manakala KB Sentral akan siap pada 2026,” lapor Malaysiakini.

“Cadangan projek KB Sentral merupakan terminal bas bergred A akan merangkumi komponen terminal bas ekspres, terminal bas henti-henti, stesen teksi dan e-hailing, parkir awam, hotel, apartmen, pusat membeli-belah, kafe dan kemudahan awam lain,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan Rohani Ibrahim (PN-Tanjung Mas).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here