TH institusi tunggal bayarkan zakat pendeposit

0
145

UMAT Islam tidak perlu khuatir dengan tanggungjawab mereka melunaskan zakat apabila menyimpan di Lembaga Tabung Haji (TH), menurut pakar ekonomi dari Putra Business School Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau berkata, hal ini kerana TH telah memainkan peranan mengurus tanggungjawab itu setiap tahun yang sekali gus menjadi antara kelebihan membuat simpanan di agensi pengurusan haji berkenaan kerana ia dijamin 100 peratus simpanan selamat oleh kerajaan.

“Simpanan di TH mempunyai kelebihan tersendiri khususnya kepada umat Islam di Malaysia berbanding dengan mana-mana bank, institusi kewangan atau pelaburan lain.

“Malah, TH menjadi satu-satunya institusi kewangan membayarkan zakat bagi pihak pendeposit dan mereka (penyimpan) tidak perlu lagi mengeluarkan zakat ke atas simpanan termasuk agihan keuntungan yang diterimanya,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Ahmed Razman berkata, berdasarkan terma dan syarat kontrak ‘Wakalah’ akaun simpanan TH, penyimpan yang membuka akaun di institusi kewangan Islam itu secara langsung telah melantik TH sebagai wakil untuk menguruskan wang mereka dalam akaun.

“Umum sedia maklum bahawa zakat adalah wajib dikeluarkan ke atas simpanan pelaburan individu. Institusi pelaburan boleh membayarkan zakat bagi pihak pelabur berdasarkan konsep ‘khultoh’ (harta bercampur), zakat tidak dikira berdasarkan baki simpanan setiap individu.

“Akan tetapi, jika pihak institusi pelaburan tidak membayar zakat, maka zakat wajib dilunaskan oleh individu sendiri berdasarkan baki simpanan masing-masing.

“Contohnya, jika seseorang memiliki simpanan pelaburan yang telah cukup syarat wajib melunaskan zakat dan menerima dividen sebanyak lima peratus, maka dia perlu membayar 2.5 peratus zakat ke atas simpanannya menjadikan keuntungan bersih diterima ialah 2.5 peratus,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmed Razman berkata agihan keuntungan kepada penyimpan adalah selepas mengambil kira zakat sebagaimana terkandung dalam terma serta syarat kontrak Wakalah antara TH dengan pendeposit TH.

“Sebagai contoh, agihan keuntungan 3.1 peratus diterima bagi 2021 ialah jumlah bersih dan pendeposit tidak perlu lagi mengeluarkan wang simpanan untuk membayar zakat ke atas simpanan mereka di TH.

“Sejumlah RM100 juta telah diperuntukkan TH bagi melunaskan zakat kepada semua Majlis Agama Islam Negeri-Negeri,” katanya sambil menambah, tidak semua institusi pelaburan patuh syariah membayarkan zakat bagi pihak pelaburnya.

Berdasarkan laman web TH, kewajipan TH melunaskan zakat bagi pihak pendeposit ialah selaras dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-17 pada 3 Mei 1979.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Pengurusan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Ahmad Sufian Che Abdullah, berkata TH ialah satu institusi kewangan yang agak ‘unik’ kerana tidak mempunyai pemegang saham.

Seperti institusi kewangan lain, Ahmad Sufian berkata pendeposit TH dianggap sebagai ‘pemegang saham’ institusi itu dengan mewakilkan kepada pihak pengurusan untuk menguruskan pelaburan, ibadah haji, pengagihan keuntungan dan agihan zakat.

“Dengan ini, urusan agihan zakat TH bagi pihak pendeposit lebih dekat dengan masyarakat seterusnya meyakinkan pendeposit terhadap urusan agihan zakat perniagaan zakat mereka,” katanya.

Dalam konteks fiqh pula, Ahmad Sufian menjelaskan oleh sebab kedudukan pendeposit dilihat seperti pemegang saham, maka zakat terhadap keuntungan TH telah menyucikan harta pendeposit secara langsung.

Menurutnya, TH tetap berbeza daripada institusi kewangan lain kerana ia bersumbermodalkan deposit pelanggan, selain diasaskan atas tujuan membantu ekonomi umat Islam.

“Dengan lebih RM3 bilion setahun (pendapatan TH pada 2021), dengan kadar zakat setelah ditolak kos operasi lebih RM100 juta setahun, maka sumbangan zakat umat Islam melalui perniagaan TH dalam pelbagai bidang memberi kesan signifikan kepada sosioekonomi umat Islam.

“Dengan jumlah itu, sudah tentu tidak ada mana-mana institusi kewangan Islam sepenuhnya di Malaysia yang mampu membayar zakat sebanyak itu buat masa ini di Malaysia. Ia berbeza dengan tabungan dalam unit amanah yang pihak pelabur perlu membayar zakat sendiri.

“Jika dikira atas kapasiti individu, mungkin sesetengah deposit individu tidak cukup jumlah nisab untuk membayar zakat. Namun dengan terkumpulnya wang semua pendeposit dan dibayar zakat perniagaan, maka kutipan zakat dapat dilakukan terhadap entiti pelaburan itu sendiri,” katanya.

Beliau turut mencadangkan agar pihak pengurusan zakat TH melakukan kerjasama lebih efektif dengan Majlis Agama Islam Negeri bagi mempelbagaikan program agihan seperti program usahawan asnaf dan program pinjaman Qard Hasan terhadap B40. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here