Semua parti politik perlu jaga sensitiviti kaum, agama – Razali

0
157

SEMUA parti politik perlu bertanggungjawab untuk menjaga keharmonian pelbagai kaum di negara ini dan tidak menuding jari kepada pihak tertentu, termasuk pembangkang jika timbul isu yang menyentuh sentimen kaum dan agama.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata semua ahli politik tahu bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan tindakan yang menyentuh sensitiviti Islam boleh mengundang kemarahan umat, seperti program ziarah gereja oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dibatalkan baru-baru ini.

Justeru, katanya, tidak seharusnya timbul dakwaan ada pihak yang hilang kuasa menggunakan program itu untuk meniupkan sentimen kaum dan agama, malah orang miskin didakwa digunakan untuk membuat kekacauan, seperti dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

“Pihak yang membuat laporan polis adalah NGO dan mereka antara yang lantang bersuara dalam isu ini. Parti politik tidak terbabit di luar dan hanya bercakap mengenainya di Parlimen.

“Bukan saja NGO, malah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut mengeluarkan kenyataan membantah program itu.

“Jadi, kenyataan Perdana Menteri bahawa ada pihak yang hilang kuasa cuba meniupkan sentimen perkauman, seolah-olah mahu merujuk kepada pembangkang tidak sepatutnya dibuat oleh seorang Perdana Menteri. Beliau sepatutnya mencari jalan meredakan keadaan, bukan lebih mengeruhkan suasana,” katanya lapor BH Online.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan, ada usaha orang kehilangan kuasa menggunakan isu program ziarah rumah ibadah untuk meniupkan sentimen kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, biarpun ia masih terkawal ketika ini, jika tindakan itu melampau sehingga mengganggu gugat ketenteraman awam, pihak keselamatan akan keras dan tegas bertindak.

Program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang dijadualkan hari ini di sebuah gereja di Klang, menimbulkan kontroversi dan dibatalkan pihak penganjur, semalam.

Program itu adalah inisiatif diterajui Impact Malaysia, NGO yang bernaung di bawah KBS.

Jumaat lalu, Pengerusi Muafakat Nasional (MN) Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali sebagai Chegubard, membuat laporan polis terhadap Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, mendakwanya menyebarkan agama Kristian kepada belia Islam melalui program yang dikaitkan dengan kementeriannya.

Mengulas program berkenaan, Razali berkata, prosedur operasi program (SOP) bagi program seumpama itu perlu diperketat.

“Kita boleh mengunjungi gereja dan menganjurkan program dengan yang bukan Islam tetapi SOP perlu ketat, tidak boleh lebih kurang.

“Jika program dibuat secara terbuka seperti mempromosi agama lain, dengan SOP yang tidak ketat, ia dibimbangi boleh menjejaskan akidah anak muda Islam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here