RUU355 tak mampu tawan undi Melayu pada PRN

0
132

CADANGAN meningkatkan hukuman jenayah di Mahkamah Syariah menerusi rang undang-undang (RUU) dikenali sebagai RUU355 tidak akan membantu gabungan pemerintah meraih undi Melayu pada PRN akan datang, menurut penganalisis politik.

RUU355 merujuk kepada cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 2017 namun terbantut susulan pembubaran Parlimen.

Menurut Pensyarah Universiti Sains Malaysia, Azmil Tayeb, walaupun gabungan kerajaan mungkin berpendapat mereka boleh menaikkan imej Islamnya, mereka tidak akan pergi jauh.

“Pakatan kerajaan tersilap besar jika berpendapat pengundi Melayu akan memilih mereka pada PRN akan datang disebabkan cadangan pembentangan RUU355.

“Pengundi Melayu memilih parti berdasarkan identiti Islam. Mereka akan sentiasa memilih Pas kerana dilihat lebih tulen dan jujur dalam memperjuangkan kepentingan Islam,” katanya, lapor FMT.

Sementara itu, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin sedang cuba ‘menggilap’ kelayakan agamanya jika RUU355 masih dalam agenda mereka.

Bagaimanapun, Ei Sun berkata, kerajaan mungkin hanya akan ‘tersedar’ pada malam keputusan PRN diumumkan kerana ia ‘bukan tandingan bagi status agama Pas yang cemerlang’.

“Gesaan Pas untuk sebuah negara teokratik semakin diterima dalam kalangan sebahagian besar pengundi,” dakwanya.

Awal minggu ini, Menteri Hal Ehwal Agama, Na’im Mokhtar berkata, pindaan RUU355 akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan.
Katanya, kementeriannya sedang menyediakan kertas Jemaah Menteri.

RUU355 bertujuan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah dan hukuman dikenakan bagi kesalahan jenayah syariah.

Seorang lagi penganalisis politik, Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, parti dalam gabungan kerajaan mungkin mencapai keputusan lebih baik dalam PRN jika penyokong bukan Melayu menyokong RUU tersebut 100 peratus.

“Ia mungkin menjadi perkembangan positif (buat pengundi Melayu) dari segi melindungi Islam sebagai agama dan kepentingan mereka,” katanya.

Tambahnya, persepsi bahawa Pas lebih bagus dalam melindungi Islam boleh dilenyapkan kerana gabungan kerajaan perpaduan akan menunjukkan mereka memperjuangkan perkara sama.

Dengan pembangkang menuduh kerajaan tidak mengambil berat tentang Islam, Azmi berkata, penyokong bukan Melayu mungkin tidak membantah RUU itu.

“Saya fikir ia juga baik untuk DAP kerana akan menunjukkan parti itu boleh menjadi sangat fleksibel dan memahami,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here