BEKAS perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad percaya pembatalan majlis pelancaran “Proklamasi Melayu” yang sepatutnya berlangsung hari ini didalangi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap dalam satu sidang media khas di Kuala Lumpur, Mahathir berkata pihaknya tiada bukti siapa yang menghubungi pihak pengurusan dewan yang sudah ditempah oleh penganjur.
Tetapi, beliau yakin semua itu tidak akan berlaku tanpa arahan dan kebenaran daripada pihak perdana menteri.
“Daripada ucapan-ucapannya sebelum ini, saya pasti dia (Anwar) di sebalik halangan ini untuk tutup mulut pengkritik kerajaan,” katanya pada sidang di ibu pejabat parti Putra yang turut dihadiri oleh pemimpin utama parti dan beberapa individu berkepentingan sebagai peserta acara tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan Sekretariat Proklamasi Orang Melayu terpaksa membatalkan acara buat kali kedua itu disebabkan pengurusan dewan membatalkan tempahan penganjur.
Sehingga kini, pihak pengurusan dewan tidak menyatakan sebarang sebab atas pembatalan berkenaan.
Difahamkan, Mahathir akan hadir ke majlis tersebut atas kapasiti peribadi, bukan sebagai penasihat parti Putra.
Mengulas lanjut, Mahathir berkata dijangka seramai 2,000 hadirin akan membanjiri acara berkenaan yang sepatutnya berlangsung pada jam 3 petang hari ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan acara tersebut boleh dibuat secara dalam talian dengan menggunakan semua bentuk publisiti dan platform media sosial sedia ada.
Katanya, bukan itu sahaja, jika pihak mereka berpeluang untuk jumpa dengan khalayak ramai atau mana-mana individu, peluang itu juga akan digunakan untuk memberitahu tentang apa sebenarnya yang sedang berlaku dalam negara di bawah pimpinan kerajaan campuran oleh Pakatan Harapan (PH) dan Umno.
“Media-media sudah ditapis. Apa yang tidak baik tentang kerajaan semua tak dibenarkan keluar.
“Kononnya inilah kerajaan terbaik di dunia. Tetapi mereka tak peduli tentang nasib orang Melayu,” katanya.
Menurut Mahathir, usaha dan tindakan kerajaan Anwar yang bersungguh-sungguh menggambarkan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum sebenarnya menidakkan hak istimewa orang Melayu yang menjadi penduduk asal negara ini sehingga dikenali sebagai Tanah Melayu pada suatu ketika dulu.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan Anwar dirinya ialah bekas menteri kewangan terbaik dalam sejarah pentadbiran di Malaysia, Mahathir membidas kenyataan tersebut.
Katanya, ada orang nak jadi menteri kewangan bukan sebab nak bantu negara tapi senang untuk mencuri wang.
“Apa yang kita dengar (sejak Anwar jadi menteri kewangan)?
“Hutang banyak. Orang dah tentukan PM tak boleh jadi menteri kewangan tapi dia jadi menteri kewangan,” ujarnya, lapor MalaysiaNow.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.