Kepimpinan baharu UMNO berdepan cabaran pulihkan imej parti – Penganalisis

0
180

PENGARAH Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar meramalkan, enam pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan selepas Jun nanti merupakan cabaran pertama barisan kepimpinan baharu UMNO.

“Tanggungjawab kepimpinan baharu ini adalah memulihkan keyakinan pengundi Melayu terhadap UMNO,” ujar beliau.

Selain itu, Hisomuddin juga berpendapat, kepimpinan baharu UMNO ini juga mempunyai tanggungjawab untuk memulihkan maruah parti pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Jelas Hisomuddin, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan kepimpinan UMNO yang baharu juga mempunyai tanggungjawab untuk menyusun strategi bagi mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu pada PRU16.

“Tanggungjawab paling besar ialah bagaimana kepimpinan ini yang dikatakan majoritinya orang presiden yang tunduk kepada hala tuju parti untuk mereka memulihkan keyakinan semula UMNO.

“Kemudian dalam tempoh lima tahun ini, mereka yang menang ini menggalas tanggungjawab untuk mengisi ruang kemenangan dalam kerajaan.

“Kepimpinan baharu ini juga perlu menterjemahkan semula keyakinan secara keseluruhan kerana UMNO mempunyai tamparan hebat kerana pencapaiannya kini hanyalah 26 kerusi UMNO daripada 30 kerusi parlimen yang dimiliki BN.

“Maka dengan beban yang ada ini sudah tentu mereka tidak boleh toleh ke belakang lagi.

“Datuk Seri Zahid dan juga seluruh kepimpinan UMNO yang menang kali ini perlu untuk merencana strategi bagi memulihkan keyakinan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-16,” katanya kepada Astro Awani.

Hisomuddin berpendapat, keputusan pemilihan UMNO ini merupakan cerminan suara akar umbi yang mahukan kepimpinan yang boleh seia dan sekata dengan hala tuju parti.

“Harapan dan cerminan suara akar umbi adalah mengharapkan UMNO ini kurang kontroversi dan juga perkara yang boleh mengganggu keputusan tertinggi.

“Akar umbi mahukan mereka yang menerajui parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk membuat keputusan memacu dan juga menentukan hala tuju UMNO ke hadapan.

“Kali ini Presiden dan Timbalan Presiden mempunyai pasukan impian untuk membawa UMNO dan memulihkan kembali reputasi UMNO dalam pilihan raya umum yang lalu,” katanya lagi.

Sehingga kini, dua muka baharu iaitu Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah memenangi kerusi Naib Presiden UMNO.

Seorang lagi calon yang menang kerusi Naib Presiden UMNO ialah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengekalkan jawatan yang disandang sebelum ini.

Bagi kerusi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pula, Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah mendapat undi bahagian tertinggi dan selesa di tempat pertama.

Ini diikuti dua senator iaitu Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz yang mendapat tempat kedua dan ketiga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here