Banjir Johor: Lima sekolah tidak beroperasi pada hari pertama

0
131

SEBANYAK lima sekolah di Johor masih belum dapat beroperasi pada hari pertama persekolahan bagi sesi 2023/24 yang bermula pada Ahad susulan banjir yang melanda baru-baru ini.

Pengarah Pendidikan Johor, Md Said Md Daimon berkata, kesemua sekolah berkenaan melibatkan SK Sri Mendapat, SK Tanjung Semberong dan SK Seri Nasib Baik di Batu Pahat, manakala SK Pogoh dan SMK Buloh Kasap mengalami masalah ketiadaan elektrik dan masih belum mendapat pengesahan (kelulusan) daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk digunakan dan dijangka beroperasi esok (Isnin) setelah disahkan oleh JKR.

“Tiga sekolah di Batu Pahat pula terbabit dengan banjir sama ada sekolah dinaiki air ataupun laluan ke sekolah itu yang masih ditenggelami air,” katanya, lapor Sinar Harian.

Md Said berkata demikian ketika ditemui ketika melakukan lawatan ke SK Sri Gading dan kemudiannya ke SK Seri Pandan, pada Ahad.

Tambah Md Said, proses pembersihan terhadap 40 sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir dan pelajar sekolah di Batu Pahat giat dijalankan.

Katanya, pihaknya juga sedang menyusun jadual sukarelawan yang akan membantu proses (pembersihan) berkenaan.

“Sehingga kini proses pembersihan sekolah masih berjalan, bagi sekolah yang masih lagi menjadi PPS, pembersihan akan dijalankan secara berperingkat dan bagi SK Sri Gading, kita sudah bersihkan tetapi wap dan mendapan tanah itu timbul semula, jadi kita kena bersihkan semula..tapi, saya percaya ramai sukarelawan yang akan bantu untuk bersihkan sekolah.

“Bagi pelajar di PPS, sesi pembelajaran bergantung kepada kelas kalau kelas bilik darjah yang kosong, maka mereka akan belajar di sekolah dan murid yang berada di PPS yang menjdi mangsa banjir akan masuk ke kelas menumpang walaupun PPS itu bukan sekolah dia.

“Apa pun, bagi minggu pertama ini sesi persekolaham lebih kepada sesi suai kenal dan transisi kepada sesi suai kenal, transisi dan setakat ini tak ada masalah untuk mereka bercampur,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here