Kes Guan Eng: Keadaan tegang lepas peguam, DPP bertikam lidah

0
164

SUASANA di mahkamah hari ini menjadi lebih panas daripada biasa ketika perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng berkaitan projek Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Ketegangan dapat dirasakan antara ketua pendakwaan Wan Shaharuddin Wan Ladin dan ketua pembelaan Gobind Singh Deo ketika prosiding hari ini.

Ia tercetus setelah hakim Azura Alwi menolak bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan peguam untuk mendapatkan nota prosiding berkaitan di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Kes di mahkamah itu melibatkan dakwaan bahawa ahli perniagaan G Gnanaraja memperdaya eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd.(CZC) Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli untuk mendapatkan projek itu.

Namun, pada Disember 2020, Gnanaraja mengaku bersalah terhadap pendakwaan alternatif di bawah Seksyen 218(1)(A) Akta Syarikat 2016 dan didenda RM230,000.

Zarul dan Gnanaraja kini menjadi saksi pendakwaan dalam perbicaraan terhadap Lim.

Pasukan pembelaan berhujah mereka memerlukan nota prosiding untuk menguatkan pembelaan Lim dalam perbicaraan ini.

Selepas Azura menolak bantahan awal pendakwaan, Wan Shaharuddin memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bersedia untuk meneruskan pendengaran merit permohonan pembelaan untuk mendapatkan nota itu.

Namun, Gobind kemudian mendakwa pihak pendakwaan telah membayangkan sebaliknya hari ini, iaitu mereka belum bersedia untuk meneruskan pendengaran merit permohonan pada hari ini.

“Inilah standard (peguam) pembelaan. Drama yang bagus,” sindir Wan Shaharuddin sambil menepuk tangannya.

Gobind membalas dengan bertanya: “Adakah ini yang telah berlaku kepada standard DPP (timbalan pendakwa raya) kita?”

Azura kemudian cuba meredakan keadaan dan menegur Wan Shaharuddin.

Wan Shaharuddin kemudian meminta mahkamah mempertimbang cara peguam Lim dalam menyampaikan hujah lisan, yang didakwa seperti membuat ancaman terhadap pendakwaan.

Gobind menafikannya dan mendakwa pihaknya hanya cuba membuat permohonan untuk mendapatkan nota perbicaraan di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan memberi peringatan berkenaan kesalahan menghina mahkamah terhadap Wan Shaharuddin.

“Jangan ancam saya,” kata Gobind kepadanya, lapor Malaysiakini.

Azura kemudian sekali lagi mengarahkan kedua-dua pihak untuk bertenang.

“Baik, hentikan semua hujah,” tegasnya ketika menegur kedua-dua pihak.

Azura kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan 23 Mac ini untuk mendengar merit permohonan pihak pembelaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here