Program Ziarah Gereja: Pemuda Umno desak NGO bawah KBS batal program, ugut ambil tindakan

0
141

PEMUDA Umno mendesak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Impact Malaysia supaya membatalkan program “Jom Ziarah Gereja” di Klang pada Sabtu ini, sambil memberi amaran supaya peka terhadap perkara yang terlalu sensitif di hati rakyat negara ini.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh berkata pihaknya tidak teragak-agak untuk turun dan menghalang sendiri program ini dijalankan dan mengambil tindakan menyaman NGO di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu serta agensi berkaitan jika desakan tidak diendahkan.

“Atas sebab ini saya mendesak sekeras-kerasnya agar pihak penganjur bagi program ini lebih peka dan sensitif terhadap isu ini serta mengambil tindakan wajar untuk halang orang Islam untuk terlibat dalam program ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, lapor MalaysiaNow.

“Saya turut mendesak agensi berkaitan agama Islam dalam negeri Selangor mengambil tindakan sewajarnya dengan kuasa yang diberikan dalam undang-undang untuk menghalang program ini diteruskan jika pihak penganjur berdegil dalam perkara ini.”

Dalam sebuah poster yang dimuat naik di Instagram Impact Malaysia berkata program itu antara lain bertujuan mengajak belia untuk menyebarkan fahaman tentang persamaan dan perbezaan antara agama serta pendedahan kepada agama yang berbeza dengan aktiviti lawatan dan sukarelawan.

Bagaimanapun poster tersebut sudah diturunkan dari Instagram sejak semalam.

Akmal yang baru memenangi jawatan ketua Pemuda Umno itu berkata, selaras dengan Artikel 11 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan, ia membenarkan negeri-negeri mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.

“Seksyen-seksyen kesalahan jenayah dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 Selangor adalah terjemahan prinsip di atas dalam Negeri Selangor.

“Dalam erti kata lain adalah menjadi kesalahan jika orang bukan Islam menyebarkan fahaman kepercayaan orang bukan Islam kepada orang Islam,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here