Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis digesa siasat peserta pesta LGBT -

Polis digesa siasat peserta pesta LGBT

PIHAK berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa menyiasat video tular mengenai pesta lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) atau perarakan kumpulan seks songsong itu yang didakwa berlaku di ibu negara.

Presiden Pertubuhan Kemasyarakatan Rakyat (Pekemas), Faizan Mohd. Noor berkata, jika benar wujud perarakan sedemikian, pihak polis harus menangkap semua peserta dan mengenakan tindakan sewajarnya sebagai pengajaran agar acara sedemikian tidak akan berulang lagi.

Beliau berkata, walaupun tidak dinamakan secara khusus, perarakan LGBT itu dilihat berselindung di sebalik penganjuran perhimpunan Women’s March Malaysia 2023 apabila kebanyakan peserta memegang bendera pelangi yang merupakan simbol LGBT.

“Jangan bagi muka, keadaan sebegini boleh menimbulkan huru-hara dalam negara.

“Pemimpin politik kerajaan juga harus bertindak dan menyiasat siapa dalang di sebalik penganjuran acara tersebut,” katanya di Putrajaya hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya mengeluarkan kenyataan bahawa penganjur perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat berhubung perakan yang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur.

Lebih kurang 150 orang terdiri daripada aktivis hak asasi (NGO), mahasiswa dan ahli parti politik menyertai perhimpunan tersebut sambil memegang plakad di antaranya ‘Imagine If Men Are As Disgusted With Rape As With Periods, Child Not Bride, Trans Women Are Woman, Police Your Behaviour Not My Body’ dan lain-lain lagi.

Kesemua individu yang sedang dikenal pasti terlibat di dalam perhimpunan tersebut akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan bagi siasatan yang dijalankan dalam masa terdekat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Akta Kesalahan Kecil 1955.

Baru-baru ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf LGBT serta konsep negara sekular.

Titah baginda, jaminan itu bertepatan waktunya untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan serius memelihara prinsip Islam berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.