Muhyiddin dibenar guna ikat jamin RM2 juta di Mahkamah KL

0
276

MAHKAMAH Shah Alam hari ini membenarkan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilepaskan mengguna pakai ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin, yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Hakim Rozilah Salleh berkata demikian selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan.

Beliau berkata, ini termasuk syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

“Tertuduh dilepaskan dengan jaminan yang sama untuk kehadiran kes di Kuala Lumpur dan mahkamah membenarkan kes ini dipindahkan ke sana,” katanya, lapor Sinar Harian.

Dalam kes berkenaan, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, Mohd. Fadhly Mohd Zamry, Zander Lim Lai Keong, Kalai Vani Annadorai dan Maziah Mohaide.

Muhyiddin pula dibarisi peguam, Datuk K Kumaraendran, Chetan Jethwani, Dev Kumaraendran, Amiratu Al Amirat Saleh Mohamed Garbaa, Mohd Isa Mohamad Basir, Shahir Ab Razak, Teh See Khoon, Varsha Chelvi dan Raja Syuhada Raja Khairuddin.

Semasa prosiding, Ahmad Akram memohon mahkamah supaya mengguna pakai ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang ditetapkan ke atas tertuduh sebelum ini.

“Saya juga memohon kes ini dipindahkan ke Kuala Lumpur memandangkan ia berkaitan perbicaraan sama serta tarikh sebutan serupa, pada 26 Mei ini,” katanya.

Mendengar perkara itu, Kumaraendran berkata, pasukan pembelaan tidak membantah cadangan tersebut.

Turut hadir dalam prosiding hari ini ialah Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Naib Presiden, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md .Jidin dan Ketua Armada, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Susulan pertuduhan ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, dituduh di mahkamah atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama.

Beliau juga menjadi pemimpin Bersatu ketiga didakwa berhubung kes jenayah, selepas bekas Ketua Penerangannya, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pada 21 Februari lalu, Wan Saiful didakwa di mahkamah ini, atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa bernilai RM232 juta pada tahun lalu.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) mengaku tidak bersalah.

Pada hari sama, Adam Radlan dituduh atas dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM500,000 membabitkan projek Jana Wibawa.

Muhyiddin pula didakwa pada Jumaat lalu, sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn. Bhd., Nepturis Sdn. Bhd .serta Mamfor Sdn. Bhd., bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here