Tuduhan terhadap Muhyiddin macam ‘mi segera’, kata Hadi Awang

0
153

PRESIDEN Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menasihatkan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN), termasuk pihak berkuasa, agar menyiasat secara terperinci terlebih dahulu sebelum mengheret seseorang itu ke mahkamah.

Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Islam melarang tindakan mendakwa seseorang di mahkamah dengan mudah, sebaliknya ia perlu dilakukan dengan cara yang betul.

“Dalam Islam tak boleh diheret ke mahkamah, mudah-mudah begitu. Ada proses kehakiman yang betul. Bukan secara segera macam mi segera… buat begitu sahaja.

“Dia pakai kenyataan media… heret orang ke mahkamah… mudah-mudah… rakyat dikelirukan oleh media,” katanya dipercayai merujuk kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang secara tiba-tiba sahaja didakwa di mahkamah atas pertuduhan kononnya menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ceramah Perdana: Solidariti Menentang Kezaliman, anjuran PN di Dewan Dato’ Ustaz Fadzil Noor, Taman Melewar, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ini adalah kali pertama Abdul Hadi mengulas mengenai pertuduhan terpilih bermotifkan politik yang dikenakan terhadap Muhyiddin.

“Orang yang benar dianggap bohong. Pembohong dianggap benar, orang yang amanah dianggap pengkhianat… pengkhianat dianggap amanah. Orang yang bebal mendabik dada bercakap perkara-perkara yang besar,” kata Abdul Hadi lagi.

Ahli Parlimen Marang itu berkata keadaan sekarang sudah jadi terbalik apabila orang yang tidak tahu agama mula bercakap benda yang besar.

“Masa bentang bajet baru-baru dibaca ayat Nabi Yusof… Nabi Yusof kata jadikan saya penjaga khazanah Mesir. Saya seorang yang mahir yang amanah. Dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) baca ayat ini.

“Ayat yang sama dibaca tahun 90-an dulu… saya masih ingat lagi masa dia menjadi Menteri Kewangan… ayat yang sama… Syok sendiri. Anggap aje macam Nabi Yusof. Nabi Yusof siapa yang lantik? Tuhan lantik. Dia siapa lantik? Rakyat Tambun lantik dia… tu pun hampir-hampir nak kalah,” kata Abdul Hadi.

Beliau menegaskan bahawa jika seseorang itu meminta untuk duduk di atas maka Tuhan akan membebankan mereka.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata negara sedang menyaksikan berlakunya kezaliman yang wajib dicegah bagi menyelamatkan negara.

Beliau mengingatkan bahawa bencana akan menimpa bukan sahaja terhadap orang yang zalim itu, tetapi juga mereka yang baik, tetapi berdiam diri.

“Kalau kita tidak bertindak bencana akan menimpa semua. Bukan sahaja mereka yang zalim, termasuk mereka yang baik yang mendiamkan diri. Berlakunya perkara ini berpunca daripada berlaku tahun-tahun yang menggoda dan menipu manusia.

“Ini keadaan yang berlaku di negara kita… walaupun sudah berlaku ada jalan untuk buat perubahan. Tak lama lagi pilihan raya negeri akan diadakan.

“Kelantan, Terengganu, Kedah. Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang. Ubah kerajaan beri Perikatan Nasional untuk ambil alih negeri-negeri ini. Insya-Allah kita akan buktikan apa yang kita nak buat? Kita tak takbur dan bahawa Allah Taala tidak sia-siakan orang yang dizalimi.

“Doa orang yang kena zalim tak ada dinding dengan Allah. Disebutlah hadis yang lain walaupun orang kena zalim itu orang bukan Islam. Tuhan terima doa dia. Tuhan tolong dia… ini bahayanya zalim ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here