PAS, Bersatu tanding 15 kerusi DUN majoriti Melayu di Pulau Pinang

0
173

PAS dan Bersatu Pulau Pinang mencapai persefahaman untuk bertanding di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdiri daripada kerusi majoriti Melayu di negeri ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Memetik laporan Agenda Daily, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusoff berkata baki DUN lain melibatkan kerusi campuran akan dimuktamadkan bersama Parti Gerakan dalam usaha merampasnya daripada Pakatan Harapan (PH).

“Usaha kita lakukan sekarang adalah mengatur langkah untuk menguasai DUN-DUN yang telah kita sasar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS Pulau Pinang, Pongsu Seribu, semalam.

Beliau berkata antara kerusi-kerusi tersebut tentulah ada penyandang, kerusi strategik dan berpotensi di mana perkara tersebut telah pun berada dalam makluman pihak pimpinan PAS Pusat.

Menurutnya, pembahagian kerusi-kerusi tersebut dibuat atas semangat kesepakatan parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang akan bersama-sama membangun dan membela rakyat negeri ini.

Beliau berkata bagi parti itu, PAS kawasan telah menyenaraikan tiga tiga nama dan dimasukkan ke dalam bank calon, dan keputusannya akan ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama

Katanya, calon yang diluluskan bertanding akan menerima watikah di mana kerusi-kerusi ditandingi PAS nanti akan turut melibatkan calon bukan-Muslim iaitu dalam kalangan ahli Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP).

Muhammad Fauzi turut menyentuh gelombang kebangkitan rakyat yang memberi sokongan kepada PN untuk dimobilisasi sehingga pembubaran DUN Pulau Pinang.

Antara isu yang berlaku di Pulau Pinang katanya, adalah sikap tidak demokratik kerajaan negeri diterajui DAP di mana telah memecat empat ADUN walaupun tempoh DUN bakal berakhir tidak lama lagi.

Selain itu, katanya kerajaan DAP melalui Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang juga berkelakuan sama dalam tindakannya baru-baru ini.

Katanya tindakan autokratik dan tidak demokratik berlaku apabila mengetepikan pilihan anak kariah di beberapa masjid dalam pelantikan pengerusi masjid di negeri itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here