Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempersoalkan keputusan kerajaan perpaduan tidak meneruskan inisiatif pelupusan hutang RM8 bilion peneroka Felda yang dilaksanakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini atas alasan memberi kesan kepada aliran tunai Felda.
“Saya tidak fikir inisiatif pelupusan hutang yang dilaksanakan oleh kerajaan Perikatan Nasional dahulu memberi kesan besar kepada aliran tunai Felda kerana hutang-hutang itu adalah hutang lapuk,” kata Pengurusi PN itu.
Selain itu beliau menegaskan, Felda juga telah menerbitkan sukuk bernilai RM9.9 bilion yang dijamin oleh kerajaan.
“Sepatutnya dengan sukuk yang diterbitkan untuk memulih dan meningkatkan daya saing Felda, Felda mempunyai kemampuan untuk meneruskan inisiatif pelupusan hutang peneroka yang telah dimulakan oleh kerajaan Perikatan Nasional.
“Bagi saya mudah saja. Kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih,” katanya berucap dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Pada masa sama katanya, Belanjawan 2023 juga langsung tidak menyentuh mengenai inisiatif lain untuk warga Felda termasuk perumahan generasi kedua.
“Adakah Kerajaan Madani ini tidak memandang warga Felda sebagai kelompok masyarakat yang penting dan memerlukan pembelaan?
“Atau ini sebenarnya dendam politik Pakatan Harapan (PH) terhadap warga Felda yang diketahui rata-ratanya menolak PH dalam Pilihan Raya Umum-15 yang lalu,” soalnya.
Amat malang katanya, Barisan Nasional (BN) yang kini berada dalam kerajaan pimpinan PH tidak mampu bersuara untuk membela kebajikan warga Felda walaupun dahulunya warga tanah rancangan itu menjadi penyokong kuat mereka.
“Maka sudah tibalah masanya untuk seluruh warga Felda beralih menyokong Perikatan Nasional yang telah terbukti serius untuk membela nasib warga Felda, termasuk inisiatif melupuskan hutang peneroka,” katanya.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, justeru warga Felda tidak perlu lagi menyokong Barisan Nasional (BN) lagi kerana ternyata gabungan tersebut telah berada di bawah telunjuk PH.
“(Nasib dan kebajikan mereka diabaikan) mungkin kerana sebahagian besar mereka menyokong PN (pada pilihan raya umum lalu) tapi saya nak ingatkan jangan aniaya mereka, mereka manusia, mereka juga nak hidup, kenapa buat hal-hal sebegini,” katanya lagi. – SB