Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan kerajaan Persekutuan menaikkan bantuan banjir daripada RM50 juta yang diumumkan sebelum ini kepada RM100 juta di Johor.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, ini kerana kerosakan dan kerugian akibat banjir di negeri tersebut amat luar biasa pada kali ini.
“Oleh kerana Johor terjejas teruk dengan musibah banjir kali ini, saya mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM100 juta kepada Kerajaan Negeri Johor untuk tujuan membantu mangsa banjir dan membiayai program pemulihan pasca banjir,” katanya.
Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata demikian dalam Perbahasan Belanjawan 2023 Peringkat Dasar di
Dewan Rakyat, Kuala Lumpur hari ini.
Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan segera banjir berjumlah RM50 juta kepada negeri Johor.
Menurut Anwar, peruntukan berkenaan akan digunakan bagi membantu mangsa banjir serta keperluan-keperluan segera di negeri itu.
Muhyiddin bercadang supaya kerajaan meluluskan peruntukan segera sebanyak RM300,000 kepada semua ahli Parlimen yang terbabit banjir.
Jelasanya, ini termasuk di kawasan ahli Parlimen pembangkang dan peruntukan itu digunakan untuk menyalurkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir.
Beliau juga mengajak ahli-ahli Parlimen mendoakan agar semua mangsa banjir di Johor dan negeri lain yang terlibat diberi kesabaran dalam berdepan musibah dan dipermudahkan segala urusan. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.