Kelemahan Belanjawan 2023 boleh ‘berjangkit’ ke janji manifesto

0
217

Oleh TOK CHEY

SEPANJANG pemerhatian Tok Chey, beberapa pengumuman kerajaan dalam Belanjawan 2023 baru-baru ini yang melibatkan bantuan kepada rakyat masih lagi menjadi topik perbualan yang hangat terutama dalam kalangan orang muda.

Antaranya ialah pengumuman Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bahawa kerajaan menerusi program MyPSV bersetuju menanggung bayaran bagi mendapatkan lesen kelas B2, teksi, bas dan e-hailing bagi membantu kumpulan B40 khususnya dalam kalangan belia.

Sebenarnya semasa pengumuman itu dibuat, banyak persoalan muncul kerana tiada perincian khusus dinyatakan Anwar sama ada kerajaan menanggung keseluruhan bayaran lesen atau hanya pakej tertentu.

Pelaksanaan bantuan itu mula menampakkan kelemahannya apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan terkejut dengan pengumuman tersebut dan tidak dapat memperincikan lebih lanjut kerana baru mengetahuinya.

Daripada kenyataan Anthony itu, rakyat dapat mengandaikan pengumuman itu dibuat tanpa sebarang perbincangan rapi melibatkan mekanisme pelaksanaan termasuklah jumlah bayaran yang akan ditanggung kerajaan.

Dan pada 3 Mac dalam satu kenyataan setelah dibuat perincian, Anthony menjelaskan bahawa bukan semua golongan B40 dapat dibantu dalam peruntukan untuk memberi lesen percuma seperti terkandung dalam belanjawan itu.

Katanya, hanya golongan B40 yang menghadapi kesulitan kewangan sahaja akan dibantu untuk dipertimbangkan menerima manfaat berkenaan.

Maka, timbul satu lagi persoalan golongan B40 mana yang tidak menghadapi masalah kewangan? Tidakkah semua maklum bahawa kumpulan itu sentiasa bergelut untuk meneruskan kehidupan dalam keadaan isu kos sara hidup yang mencengkam?

Bagi Tok Chey, jika tiada sebarang penilaian menyeluruh, tidak usahlah umumkan bantuan seumpama itu kerana menunjukkan kelemahan perancangan kerajaan serta memberi harapan palsu kepada rakyat.

Tidak perlu berjanji sesuatu yang di luar kemampuan semata-mata mahu meraih sokongan atau pun mahu menunjukkan belanjawan itu ‘indah’ tetapi hakikatnya bantuan yang diuar-uarkan hanya omong kosong.

Begitu juga dengan pengumuman bantuan kepada pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 40 hingga 54 tahun yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 melibatkan peruntukan RM1 bilion.

Seperti dibangkitkan Presiden MCA, Wee Ka Siong yang juga wakil rakyat dalam kem kerajaan, apabila menyifatkan pengumuman itu tidak memberi manfaat kepada ramai penerima.

Ini kerana, dalam usia 40 hingga tahun 54 tahun, mustahil pencarum aktif akan mempunyai simpanan kurang RM10,000.

Bahkan katanya, pengumuman itu akan memberi manfaat kepada pencarum yang tidak aktif kerana golongan seumpama itu dilihat lebih munasabah untuk menerima peruntukan bagi kategori yang diumumkan.

Berdasarkan kelemahan yang ditonjolkan ini, Tok Chey bimbang ia akan ‘berjangkit’ pula kepada pelaksanaan manifesto selepas ini.

Pertamanya, manifesto yang diumumkan sebelum menang pilihan raya tidak nampak tanda-tanda untuk direalisasikan kerana belum ada pengumuman khas untuk menunaikan janji-janji berkenaan.

Setakat yang dilaporkan ialah kerajaan sedang mencari titik persefahaman dalam menterjemahkan manifesto parti-parti yang bergabung dalam kerajaan Perpaduan.

Belum ada langkah agresif ke arah mengotakan janji-janji itu, berbeza dengan kesungguhan menguar-uarkannya untuk menagih janji rakyat ketika kempen pilihan raya.

Rakyat bimbang, macam-macam alasan akan digunakan untuk menghalalkan tindakan supaya janji-janji yang pernah ditabur sebelum ini tidak dapat direalisasikan.

Jika sebelum ini menggunakan alasan Dr Mahathir Mohamad bukan mewakili kerajaan PH ketika beberapa janji dalam manifesto tidak dapat ditunaikan ketika 22 bulan memerintah, rakyat bimbang akan wujud alasan baru dicipta pula selepas ini.

Antara alasan-alasan yang sudah mula dicipta ialah kerajaan yang memerintah ketika ini bukan ‘solid’ PH tetapi sudah bergabung dengan BN dan hutang trilion ringgit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here