Mangsa banjir di lima negeri melonjak lebih 36,000 orang

0
208

JUMLAH mangsa banjir di empat negeri terus meningkat pagi ini dengan 36,428 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri berbanding 31,375 mangsa malam tadi.

Di JOHOR, keadaan banjir semakin memburuk dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 33,149 orang 8 pagi ini, berbanding 28,486 orang 8 malam tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan sebanyak 19 lagi PPS dibuka, menjadikan jumlah keseluruhan 217 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah dengan Segamat sebagai daerah paling teruk terjejas dengan 12,186 orang dari 3,519 keluarga dipindahkan ke 77 PPS.

“Diikuti Kluang 5,174 orang dari 1,507 keluarga di 38 PPS; Batu Pahat 4,340 dari 1,174 keluarga di 24 PPS; Kota Tinggi 3,689 dari 971 keluarga di 19 PPS; Muar 2,829 dari 836 keluarga di 18 PPS dan Tangkak 1,999 dari 541 keluarga di 19 PPS,” katanya.

Turut terjejas Johor Bahru dengan 1,216 orang dari 356 keluarga di enam PPS; Mersing 722 dari 214 keluarga di lapan PPS; Kulai 630 dari 156 keluarga di tiga PPS dan Pontian 364 dengan 90 keluarga di lima PPS.

Di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir terus bertambah pagi ini dengan 2,031 mangsa berada di 30 PPS berbanding 1,769 orang di 27 PPS pada malam tadi.

Daerah Rompin terus mencatatkan pertambahan mangsa iaitu 1,355 mangsa pagi ini berbanding 1,068 orang malam tadi, manakala jumlah mangsa di daerah lain kekal iaitu Pekan dengan 106 mangsa, Jerantut (96 mangsa), Raub (68 mangsa) dan Bera (29 mangsa).

Bagaimanapun jumlah mangsa di Maran berkurangan kepada 355 orang daripada 402 orang malam tadi manakala Temerloh menjadi daerah terbaru dilanda banjir apabila sebuah PPS dibuka awal pagi ini bagi menempatkan 22 mangsa banjir.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Lt Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam berkata seramai 1,061 mangsa daripada 301 keluarga ditempatkan di 12 PPS setakat pukul 8 pagi ini membabitkan Tampin dan Jempol.

Beliau berkata PPS Sekolah Kebangsaan Kelamah merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu membabitkan 540 mangsa daripada 138 keluarga.

Di MELAKA, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 144 mangsa daripada 35 keluarga pada 8 pagi ini berbanding 78 orang daripada 20 keluarga pada 8 malam tadi.

Sekretariat JPBN Melaka dalam satu kenyataan berkata sebanyak 12 mangsa membabitkan enam keluarga yang terjejas di daerah Alor Gajah ditempatkan di PPS Balai Raya Bukit Tambun.

“Di daerah Jasin pula, sebanyak 132 mangsa daripada 29 keluarga terjejas ditempatkan di tiga PPS dan 36 orang daripada sembilan keluarga ditempatkan di PPS SK Chohong manakala 36 mangsa daripada enam keluarga pula ditempatkan di PPS SK Seri Mendapat dan 60 mangsa daripada 14 keluarga pula dipindahkan ke SK Parit Penghulu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, enam kawasan dilaporkan terjejas banjir di daerah Alor Gajah iaitu Kampung Bukit Balai, Kampung Bukit Tambun, Kampung Gadek, Kampung Panchor, Kampung Belimbing Dalam dan Kampung Pulau.

Di Jasin pula, sembilan kawasan dinaiki air iaitu Kampung Sungai Dua Asahan, Kampung Pondok Batang, Kampung Bukit Asahan, Kampung Chohong, Sempang Bekoh, Kampung Tersusun Seri Mendapat, Kampung Janda Berhias, Kampung Parit Penghulu dan Kampung Tasik.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir di kawasan Engkelili dan Julau kekal seramai 43 orang daripada 18 keluarga pagi ini berbanding malam tadi.

Menurut laporan Sekretariat JPBN Sarawak, setakat pagi ini sebanyak dua PPS masih dibuka iaitu PPS Dewan Johnical Rayong di Engkelili menempatkan 25 mangsa daripada 12 keluarga manakala PPS Kompleks Sukan Julau menempatkan 18 mangsa daripada enam keluarga.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here