ADUN Bertam dinamakan ketua pembangkang DUN Pulau Pinang

0
554

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam Khaliq Mehtab Mohd Ishaq dinamakan Perikatan Nasional (PN) sebagai ketua pembangkang yang baharu mewakili gabungan itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Timbalan Pengerusi PN Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata cadangan itu telah dipersetujui oleh semua ADUN PN negeri itu dan dimaklumkan kepada Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang.

“Kami yakin dengan lantikan ini, PN akan berperanan sebagai pembangkang yang berwibawa untuk membawa suara rakyat Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Lau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang berkata kerajaan negeri telah menghantar notis usul pengosongan kerusi bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diwakili PN iaitu Bertam, Teluk Bahang, Sungai Acheh dan Seberang Jaya.

Beliau berkata usul itu adalah bersangkutan dengan undang-undang Akta Lompat Parti Pulau Pinang yang dijangka akan dibahaskan di persidangan DUN Pulau Pinang, Isnin ini.

Lau berkata sebelum ini ADUN Bertam telah menghantar usul kepada DUN Pulau Pinang pada 20 Feb lepas bagi meminda Perkara 14A Fasal 1 Perlembagaan Pulau Pinang berkenaan dengan undang-undang akta lompat parti agar selari dan selaras dengan Akta Lompat Parti (Akta A1663) yang baru diluluskan di Parlimen tahun lepas.

Menurutnya percanggahan besar dalam undang-undang itu adalah berkenaan pemecatan ahli dewan iaitu seorang Ahli Parlimen tidak akan hilang kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.

“Kami berpandangan Pulau Pinang tidak boleh dilihat bercanggah dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, iaitu undang-undang tertinggi negara. Namun, usul pembangkang ini telah ditolak oleh Speaker daripada dibahaskan di dalam persidangan akan datang ini,” katanya.

Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa seseorang ADUN hendaklah mengosongkan kerusinya jika telah dipilih sebagai calon parti politik, beliau perlu meletak jawatan atau dipecat daripada parti atau telah dipilih selain sebagai calon parti politik, menyertai parti politik lain.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here