100 Hari Kerajaan Perpaduan: Kaum bukan Melayu lebih ramai rasakan hala tuju negara betul

0
213

MALAYSIA Madani menjadi tunjang dan garis panduan dalam mengemudi negara sebagai hala tuju Kerajaan Perpaduan.

Dalam memenuhi aspirasi Kerajaan demi kesejahteraan rakyat, setiap program dan agenda yang dilakukan perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan yang berkesan agar ia benar-benar dirasai setiap anggota masyarakat.

Kaji Selidik Tinjauan Rakyat Malaysia 100 Hari Pentadbiran Kerajaan Perpaduan menunjukkan, 45 peratus daripada lebih 35,000 responden mengatakan hala tuju semasa negara adalah betul.

Numun 30 peratus responden mengatakan hala tuju salah, dan 25 peratus lagi tidak pasti, lapor Astro Awani.

Kaum bukan Melayu terus menaruh kepercayaan kepada Kerajaan Perpaduan, apabila masing-masing 76 peratus kaum Cina dan India mengatakan hala tuju negara adalah betul.

Namun, hanya 13 peratus responden kaum Cina dan 7 peratus responden kaum India merasakan hala tuju negara salah.

Berbeza pula dengan kaum Melayu di Semenanjung apabila hampir separuh atau 43 peratus daripada responden bertegas, hala tuju negara adalah salah, dan hanya 26 peratus mengatakan hala tuju negara betul.

Bumiputera Sabah dan Sarawak pula masing-masing merekodkan 59 peratus dan 60 peratus responden mengakui hala tuju negara betul.

Begitu juga bagi kaum lain dengan 58 peratus merasakan hala tuju negara betul.

Tinjauan berkenaan merupakan sentimen rakyat berhubung prestasi dan populariti pentadbiran Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Seramai 35,077 respon berjaya diperoleh daripada pembaca dan pelayar agensi media dan berita dari seluruh negara.

Pengumpulan data kajian telah dijalankan selama 10 hari bermula 6 Februari hingga 16 Februari 2023.

Kerjasama kajian dijalankan antara firma penyelidikan O2 Malaysia dengan lima media arus perdana, Sinar Harian, Astro Awani, The Star, Sin Chew dan Malaysia Namban.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here